PETALING JAYA – Seorang wanita dirakam menjerit dan berulang kali meminta bantuan dari dalam sebuah kereta selain mendakwa dirinya dikasari.
Rakaman tersebut menjadi tular di media sosial dan difahamkan kejadian berlaku sekitar laluan ke Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Video berdurasi kurang satu minit itu memaparkan wanita berkenaan dalam keadaan panik sambil melambai-lambai dan menjerit meminta tolong kepada orang ramai yang menyedari kejadian tersebut.
“Tolong! Tolong! Dia nak bunuh aku!,” jerit wanita tersebut.
Ketika kejadian, wanita terbabit dilihat cuba membuka pintu kereta namun ditahan seorang lelaki yang berada bersamanya.
Lelaki itu turut mendakwa bahawa wanita tersebut berada dalam keadaan kurang waras sehingga menyebabkan dia menjerit sedemikian.
“Tak apa, dia tak sedar ini. Tolong tutupkan pintu bang,” kata lelaki terbabit.
Situasi tersebut menimbulkan tanda tanya dan pelbagai spekulasi netizen yang bimbang berlaku sesuatu yang lebih serius di sebalik kejadian itu.
“Kekerasan rumah tangga ka? Atau pergaduhan kekasih? Cara wanita tu menjerit nampak dia takut sangat. Kenapa yang diluar hanya perhati dan rakam?,” soal Ajuna.
“Walau gaduh suami isteri, kita ada hak campur tangan kalau dah terjerit-jerit minta tolong macam itu tambah pula tempat awam,” tegur Zehan.
“Kalau nampak kes macam ini cepat-cepat bertindak. Dah di tempat awam kan, apa-apa bawa pergi balai,” komen Nasuha Izzati. – KOSMO! ONLINE














