fbpx
Shazeli menunjukkan vape berisi ketamin yang dirampas pihaknya dalam sidang akhbar di IPK Selangor hari ini.

Tiga lelaki ditahan jual vape dadah RM3. 04 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Kegiatan tiga lelaki mengaut untung mudah dengan menjual dan memasarkan vape berisi dadah sejak enam bulan berakhir selepas diserbu di sekitar Klang dekat sini, baru-baru ini.

Dalam serbuan kira-kira 2 petang pada Khamis lalu, kesemua suspek tempatan berusia 33 hingga 49 tahun itu bertugas sebagai penjual, penjaga stor dan pembungkus selain merampas dadah jenis ketamin bernilai RM3.04 juta.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan mendapati setiap daripada suspek menerima upah antara RM1,500 hingga RM2,000 sebulan selain komisen berdasarkan keuntungan jumlah jualan.

Katanya, penjualan vape mengandungi bahan terlarang tersebut dilakukan secara terbuka tanpa memerlukan kata kunci.

“Kita percaya mereka mempunyai pelanggan sedia ada dengan pasaran mereka ketika ini adalah sekitar Selangor sebelum dipercayai diperluaskan ke seluruh negara.

“Ketiga-tiga suspek juga tidak mempunyai pertalian persaudaraan antara satu sama lain dengan hanya seorang daripada mereka mempunyai tiga rekod jenayah lampau ,” katanya pada sidang akhbar di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.

Menurut beliau, hasil siasatan awal juga mendapati dadah tersebut dibeli secara dalam talian sebelum dihantar menggunakan kurier.

Jelasnya, dadah berkenaan semua telah dibancuh dan proses seterusnya memudahkan proses penghasilan vape dadah itu.

“Sepanjang serbuan itu, kita merampas 2,068 biji katrij, 550 unit pod dan 240 botol berisi vape campuran dadah jenis ketamin dengan anggaran isipadu 61 liter.

“Kita sedang menyiasat dari segi ‘posting’ dan keuntungan diperoleh mereka,” ujarnya.

Shazeli menambah, pihaknya turut menyita tiga buah kenderaan merangkumi jenis Honda CRV, Perodua Bezza dan Kelisa serta lima barangan kemas dengan nilai keseluruhan RM134, 800.

Kesemua mereka kini direman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI