PETALING JAYA – Penyanyi Sarah Suhairi mendedahkan pernah ditawarkan oleh beberapa pihak untuk melakukan rawatan pencerahan kulit namun ditolak kerana bimbang menjejaskan kesihatan dalaman.
Bangga dengan kulit sawo matang dimilikinya, Sarah, 25, berkata pelbagai jenis rawatan diterimanya sebelum ini termasuk memasukkan cecair dikatakan vitamin untuk memiliki kulit cerah dalam tempoh singkat.
“Ada yang tawarkan ‘drip’ vitamin dan sebagainya. Memanglah banyak testimoni positif tetapi saya jenis fikir kesan jangka masa panjang terhadap organ dalaman seperti buah pinggang dan sebagainya.
“Kesan itu memang tidak nampak sekarang tetapi tak tahu apa akan jadi pada masa akan datang sebab badan nak pakai lama.
“Namun, kalau kalian mahu lakukan, saya tak menghakimi sesiapa sebab hak peribadi cuma apa pun, tolong utamakan kesihatan dan jangan menyesal di kemudian hari,” katanya kepada Kosmo! Online pada pertunjukan fesyen Maglifestyle di sini, baru-baru ini.
Tidak mengejar untuk mengubah warna kulitnya, Sarah berkata, wanita yang berkulit sawo matang jangan sesekali berasa rendah diri dan bangga dengan kecantikan dimiliki.
“Jangan rasa rendah diri, risau atau sedih. Kalau kulit tak cerah pun tetap cantik cuma saya tak galakkan terikut-ikut dengan trend mengambil jalan pintas semata-mata untuk memiliki kulit lebih cerah.
“Sebagai wanita yang ada warna kulit begini, saya mahu nasihatkan agar sentiasa percaya dengan kecantikan sendiri.
“Kalian perlu sentiasa puji kecantikan sendiri di depan cermin setiap hari. Siapa lagi nak cakap cantik kalau bukan diri sendiri,” jelasnya.
Dalam masa sama, dia meminta individu yang kurang yakin dengan warna kulit sendiri agar tidak melayan setiap kritikan atau komen negatif orang sekeliling.
Dia juga memberitahu sering menerima komen negatif netizen yang mempertikai fesyen yang digayakan termasuk warna busana dikatakan tidak sesuai dengan warna kulitnya.
“Apa-apa komen daripada luar, abaikan saja sebab kita lebih kenal diri sendiri. Cantik ini bukan pada wajah semata-mata tetapi hati pun penting.
“Tak semestinya kulit cerah itu sentiasa cantik dan sebaliknya. Kalau hati baik, perkara positif dari dalaman itu akan menyerlahkan lagi kecantikan luaran.
“Selain itu, nak nampak cantik ada banyak cara dan perlu berani bereksperimentasi, jangan terlalu mengambil serius pandangan orang,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














