KOTA TINGGI – Suasana pilu menyelubungi Masjid Taman Sri Saujana di sini hari ini apabila seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang masih lengkap berpakaian sekolah hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada bapanya yang maut dalam kemalangan awal pagi tadi.
Mohd Syahareza Muhd Kamal, 43, maut selepas terlibat kemalangan di Kilometer 29 Jalan Johor Bahru-Mersing ketika dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Senai.
Difahamkan, anaknya yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Sri Saujana sempat menjawab kertas Pendidikan Islam berlangsung hari ini sebelum dibawa gurunya ke masjid berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, pihak polis menerima maklumat kemalangan itu kira-kira pukul 5.50 pagi melibatkan dua kenderaan kereta jenis Nissan Sentra dipandu lelaki berumur 29 manakala mangsa menunggang motosikal jenis Honda RS-X.
“Kemalangan dipercayai berlaku di apabila kereta Nissan Sentra masuk laluan bertentangan lalu bertembung motosikal ditunggang mangsa.
“Akibat kemalangan, penunggang motosikal telah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, mayatmangsa telah dirujuk ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi manakala pemandu kereta turut mengalami kecederaan di bahagian muka.
Tambahnya kes masih dalam siasatan polis dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE














