fbpx
Allahyarham Syamsul Haris

Peguam keluarga Syamsul Haris desak tubuh jawatankuasa khas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Kerajaan diminta menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat kemungkinan wujud ‘tangan ghaib’ yang menyorokkan maklumat berhubung kes kematian pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palepas), Universiti Teknologi Malaysia, Syamsul Haris Shamsudin.

Peguam Datuk Naran Singh mewakili keluarga arwah berkata, ini berikutan kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC) bahawa apabila kes tersebut diklasifikan sebagai Seksyen 302 Kanun Keseksaan untuk siasatan lanjut polis.

Katanya, ia jelas menunjukkan percanggahan besar bahawa tiada kecederaan pada anggota tubuh Allahyarham Syamsul Haris.

“Ketika itu, Menteri Pertahanan dan Menteri Kesihatan dimaklumkan bahawa tiada kecederaan pada tubuh mangsa. Persoalannya, siapa yang menyembunyikan keterangan penting ini?

“Perkara ini menjadi lebih mendalam. Jadi, perlu tubuh segera jawatankuasa khas bagi menyiasat ‘tangan ghaib’ ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! malam ini.

Beliau berkata, Menteri Pengajian Tinggi juga perlu bertindak segera kerana ia melibatkan isu kredibiliti yang akan memberikan kesan kepada minat dan penyertaan terhadap Palapes.

“Kes ini membabitkan penuntut universiti. Apa langkah susulan sekarang?

“Keluarga hantar anak dalam keadaan hidup, tetapi pulang dalam keranda. Perkara ini memberi impak besar kepada Palapes dan keyakinan ibu bapa,” tegasnya.

Dalam pada itu, Naran menzahirkan penghargaan kepada keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh itu membuka ruang penting untuk mencari kebenaran berhubung punca sebenar kematian mangsa.

“Pertama sekali, kami mengucapkan terima kasih kepada Yang Arif kerana membenarkan kubur digali semula. Langkah ini sangat penting untuk mendapatkan kepastian melalui bedah siasat kedua.

“Terima kasih juga kepada bahan bukti melalui pemacu USB serta tindakan ibu mangsa merakam gambar kecederaan pada tubuh anaknya.

“Itu semua membantu kita melihat fakta sebenar, bukan sekadar menerima laporan awal semata-mata,” jelasnya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan AGC mengarahkan kes kematian pelatih Syamsul Haris diklasifikasikan sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

AGC dalam kenyatannya hari ini berkata, dapatan itu diperoleh selepas taklimat hasil laporan siasatan yang dibuka oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke atas Syamsul Haris pada hari ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI