KUALA TERENGGANU – Banjir gelombang pertama yang melanda Terengganu sejak 21 November lalu semakin pulih dengan tinggal hanya 37 mangsa masih terjejas pada hari ini.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT) berkata, kesemua daerah juga sudah pulih daripada banjir kecuali Marang dan Kuala Terengganu.
Beliau berkata, hanya dua pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi masing-masing satu di dua daerah terbabit.
“PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Atas Tol, Kuala Terengganu masih mempunyai 31 mangsa daripada 20 keluarga.
“Seramai enam daripada dua keluarga pula masih berlindung di PPS SK Paya Resak, Marang,” katanya di sini hari ini.
Sebelum ini, kesemua lapan daerah di Terengganu terjejas banjir melibatkan lebih 10,000 mangsa. – KOSMO! ONLINE














