PETALING JAYA – Tindakan mengambil mandi wap atau ‘sauna’ selepas mengambil dadah dengan harapan bahan terlarang itu keluar melalui peluh adalah satu mitos dan tidak berkesan menyingkirkan dadah daripada tubuh.
Menurut penerangan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kuala Krai dalam hantaran di Facebook, mandi wap hanya membantu tubuh mengeluarkan air dan garam melalui peluh, bukannya bahan dadah yang berada dalam darah atau sistem organ dalaman.
Katanya, kebanyak jenis dadah seperti methamphetamine, heroin, ganja, ketum, pil kuda dan alkohol akan diproses terutamanya oleh hati dan buah pinggang, bukan melalui kulit.
“Proses penyingkiran dadah daripada badan berlaku melalui sistem metabolisme dan perkumuhan, contohnya melalui air kencing dan najis, bukannya melalui peluh walaupun seseorang itu berpeluh dengan banyak ketika berada dalam bilik wap.
“Ini bermakna, walaupun individu yang mengambil dadah mandi wap berulang kali dan berpeluh dengan banyak, paras dadah dalam darah dan air kencing mereka tidak akan berkurang hanya dengan cara tersebut,” jelasnya.
Dalam hantaran tersebut, turut dimuat naik sekeping gambar ilustrasi beberapa lelaki yang sedang mengambil mandi wap sambil bertuala putih.
Tinjauan Kosmo! di ruangan komen hantaran tersebut mendapati ramai yang terhibur dan dalam masa sama mengakui baru sahaja mengetahui tentang ilmu tersebut.
“Pandainya perli secara halus. Apa-apa pun betul tu, saya setuju. Info yang bagus untuk pengetahuan orang ramai,” komen Shaiful.
“Bagus gambarnya, sauna pun tutup aurat. Mandi wap sebenarnya bagus lagi-lagi untuk lelaki yang merancang untuk dapatkan anak,” komen Nor Fauziah pula. – KOSMO! ONLINE














