GIRONA – Real Madrid terlepas peluang untuk kembali memintas Barcelona di persada La Liga selepas sekadar mencatat keputusan seri 1-1 menentang Girona di Stadium Montilivi awal pagi semalam.
Pada perlawanan itu, Girona yang merupakan pasukan zon penyingkiran terlebih dahulu mendahului perlawanan menerusi jaringan Azzedine Ounahi pada minit ke-45 sebelum Kylian Mbappe menyamakan kedudukan di separuh masa kedua.
Walaupun gagal menang, namun jurulatih Real, Xabi Alonso kekal tenang apabila menganggap saingan liga masih panjang selain percaya mereka mampu untuk kembali mendapatkan prestasi terbaik selepas ini.
“Kami menampilkan aksi lebih baik di separuh masa kedua menerusi beberapa peluang yang dicipta. Bagaimanapun, kami kurang tajam ketika berada di depan gol dan ia menjadi faktor kami gagal mendapatkan tiga mata.
“Selain itu, kami tidak boleh menekan butang panik kerana saingan liga masih panjang. Masih ada banyak masa untuk kami memperbaiki prestasi dan kembali mencabar takhta kejuaraan liga,” katanya.
Projek Alonso bersama Los Blancos mula dipersoalkan menerusi keputusan-keputusan kurang memuaskan biarpun mereka bermula garang bagi kempen 2025/26 apabila mencatat 10 daripada 11 perlawanan awal musim.
“Dalam setiap musim, akan ada beberapa fasa. Kami bermain sangat baik di tempat lawan pada awal musim tetapi sekarang berdepan situasi cukup sukar. Pujian juga kepada pemain apabila menunjukkan semangat juang cukup tinggi,” ujarnya. – AGENSI














