KUALA LUMPUR – Kerajaan menyalurkan sebahagian kutipan duti eksais minuman bergula (SSB) bagi membiayai perolehan ubat SGLT2 inhibitor untuk pesakit diabetes serta mengembangkan program dialisis peritoneal (PD) di bawah Kementerian Kesihatan (KKM).
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata kadar duti eksais SSB dinaikkan daripada 50 sen kepada 90 sen seliter bermula 1 Januari 2025, dengan kutipan mencecah RM54.9 juta dari Januari hingga Ogos tahun ini, manakala RM68.6 juta dicatatkan sepanjang 2024.
“Langkah ini sebahagian usaha kerajaan mengekang penyakit berkaitan gaya hidup dan memastikan bekalan ubat kritikal pesakit kronik terjamin,” katanya di Dewan Rakyat.
“Daripada jumlah kutipan tersebut, RM21 juta diperuntukkan bagi ubat SGLT2 inhibitor yang diagihkan ke semua negeri pada September 2025, memberi manfaat kepada 49,128 pesakit.
“Ubat itu digunakan untuk merawat Diabetes Mellitus, mengurangkan komplikasi buah pinggang kronik dan memberikan perlindungan kardiovaskular serta renal,” katanya di Dewan Rakyat.
Menjawab soalan Wong Shu Qi (PH–Kluang), Dr. Dzulkefly turut memaklumkan bahawa KKM memperuntukkan RM40 juta bagi rawatan dialisis peritoneal pada 2025, dengan peningkatan pesakit yang memilih kaedah tersebut kepada 42 peratus berbanding 36.6 peratus pada 2020.
“Rawatan ini lebih fleksibel, boleh dilakukan di rumah dan meniru fungsi ginjal sebenar.
Pendekatan ini selaras dasar ‘PD First’ yang menjadikan PD kaedah utama bagi pesakit kegagalan buah pinggang tahap akhir,” katanya. – KOSMO! ONLINE.














