fbpx
Gambar hiasan.

Fokus siasatan jejak pembunuh Syamsul Haris

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Polis mengesahkan kematian kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Syamsul Haris Shamsudin, kini disiasat sebagai kes bunuh.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, siasatan awal berhubung kejadian itu bermula sebagai mati mengejut (SDR) oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi pada 28 Julai lalu.

Bagaimanapun, pada 27 Ogos 2025, Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5 Bukit Aman mengambil alih sepenuhnya kes selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan permohonan keluarga si mati untuk penggalian semula kubur (exhumation) dan bedah siasat kali kedua.

Katanya, hasil siasatan lengkap PDRM telah dibentangkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini dan kes berkenaan diklasifikasikan dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Siasatan kini diteruskan bagi mengenal pasti individu yang terlibat atau bertanggungjawab terhadap kematian Syamsul Haris sebelum kertas siasatan dirujuk semula kepada AGC untuk arahan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan dan demi menghormati prinsip keadilan jenayah.

“Berikan ruang kepada PDRM untuk melengkapkan siasatan,” katanya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan AGC mengarahkan kes kematian Syamsul Haris sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

AGC dilaporkan berkata, dapatan itu diperoleh selepas ditaklimatkan hasil laporan siasatan yang dibuka oleh pihak Polis Diraja Malaysia ke atas Syamsul Haris pada hari ini.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan kubur Syamsul Haris Shamsudin digali semula. Allahyarham Syamsul Haris dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Selangor.

Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan ibu Syamsul Haris iaitu Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, selaku pemohon supaya kubur anaknya digali bagi bedah siasat kedua. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI