fbpx
Gambar hiasan.

Dakwa anggota kementerian, suspek ajak geng serang lelaki Pakistan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Empat lelaki termasuk tiga warga asing ditahan polis selepas dipercayai terlibat insiden rusuhan buli jalan raya di Ampang Lookout Point, di sini, pada 14 November lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 11 malam ketika seorang lelaki warga Pakistan bersama dua rakannya berhenti di lampu isyarat merah sebelum tiba-tiba dihampiri seorang lelaki tidak dikenali yang bertindak agresif.

Menurutnya, suspek menjerit sambil cuba menahan kenderaan pengadu sebelum mengekori mereka sebaik lampu isyarat bertukar hijau dan seterusnya menghalang kereta mangsa di kawasan berbukit itu.

“Sebaik berhenti, suspek mendakwa dirinya anggota kementerian pertahanan dan cuba menunjukkan kad kuasa. Tidak lama selepas itu, kira-kira 25 lelaki datang mengelilingi mangsa dan rakan-rakannya sebelum menyerang mereka secara fizikal sehingga menyebabkan kecederaan serta kerosakan pada kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairul Anuar berkata, hasil operasi Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya antara 26 hingga 29 November lalu membawa kepada tangkapan seorang lelaki tempatan dan tiga lelaki warga asing berusia 18 hingga 40 tahun.

“Siasatan mendapati seorang suspek mempunyai dua rekod lampau manakala tiga lagi tiada rekod jenayah,” katanya.

Katanya, permohonan reman terhadap suspek pertama diluluskan selama enam hari bermula 27 November hingga 2 Disember, manakala reman ke atas tiga suspek lain dibenarkan selama tiga hari bermula 30 November hingga 2 Disember.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN