KUALA LUMPUR – Seramai 13.9 juta rakyat, bersamaan lebih 84 peratus daripada 16.5 juta individu yang layak, telah menikmati harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter melalui program Budi Madani RON95 (Budi95) sehingga 30 November lalu.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, berkata dalam tempoh sama, program itu merekodkan nilai jualan RM5.16 bilion dengan jumlah penggunaan petrol sebanyak 2.59 bilion liter.
“Kerajaan dijangka menjana penjimatan antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun bergantung kepada harga minyak dunia serta berdasarkan data penggunaan domestik sebelum pelaksanaan Budi95.
“Anggaran itu mengambil kira pelbagai senario harga minyak mentah global antara AS$60 hingga AS$80 setong, selain penghapusan subsidi bagi segmen tidak disasarkan seperti bukan warganegara dan pengguna komersial,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Dr. Lingeshwaran R. Arunasalam mengenai tahap penjimatan fiskal yang dicapai kerajaan selepas sebulan pelaksanaan subsidi bersasar Budi95.
Menurut Hui Ying, kerana penyasaran subsidi RON95 hanya bermula pada 30 September 2025, jumlah penjimatan tahunan hanya boleh dinilai secara penuh mulai 2026.
“Bagi 2025, fokus kerajaan adalah memantau serta menambah baik mekanisme pelaksanaan bagi memastikan sistem Budi95 kekal stabil, mesra pengguna dan berupaya mengurangkan ketirisan subsidi,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa penjimatan yang dijana melalui pelbagai inisiatif subsidi bersasar termasuk Budi95 membolehkan kerajaan memiliki ruang fiskal lebih luas untuk dimanfaatkan demi kesejahteraan rakyat.- KOSMO! ONLINE.














