fbpx
DR. ABDUL MONIR memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) kedua daripada Canselor UNIMEL, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam pada Istiadat Konvokesyen ke-27 Unimel di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka, semalam. Foto oleh AMRAN ALI/KOSMO!

Terima PhD kedua di usia 79 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Bekas Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Datuk Dr. Abdul Monir Yaacob, 79, berjaya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) kedua pada Istiadat Konvokesyen ke-27 Universiti Islam Melaka (Unimel) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, semalam.

Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 2023 itu menamatkan pengajian dalam bidang Sejarah di Institut Pengajian Siswazah universiti berkenaan, sekali gus mencatatkan satu lagi pencapaian peribadi yang membanggakan dalam perjalanan akademiknya.

Pada istiadat sama, beliau turut diumumkan sebagai penerima Anugerah Hadiah Buku dan membawa pulang wang tunai RM250, selempang Pelajar Terbaik serta sijil penghargaan atas kecemerlangan penulisan akademiknya.

Abdul Monir sebelum ini memperoleh PhD pertamanya dalam bidang Perundangan Syariah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada tahun 1991, menjadikan kejayaan terbaharu itu sebagai PhD kedua beliau dalam tempoh lebih tiga dekad.

“Saya sangat bersyukur dan gembira dengan pencapaian ini kerana ia bukan sekadar satu anugerah peribadi tetapi bukti bahawa semangat menuntut ilmu tidak pernah terhenti walaupun usia semakin meningkat.

“Selagi kita bernafas, selagi itulah kita boleh belajar. Usia bukan ukuran, sebaliknya semangat dan keikhlasan dalam mencari ilmu yang menentukan,” katanya kepada pemberita selepas majlis tersebut yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka merangkap Canselor Unimel, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam.

DR. ABDUL MONIR bersama ahli keluarga Bekas selepas berjaya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) kedua pada Istiadat Konvokesyen ke-27 Unimel di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka, semalam.-Foto oleh AMRAN ALI /KOSMO!

Mengulas lanjut, beliau yang terkenal sebagai tokoh ilmuwan negara berkata, nilai sesuatu ijazah tidak harus diukur pada segulung kertas semata-mata, sebaliknya pada sejauh mana ilmu itu dapat dimanfaatkan oleh masyarakat.

“Saya telah menulis lebih 10 buah buku akademik dan sebahagiannya kini digunakan sebagai rujukan penting. Itu adalah amanah ilmu yang saya cuba pikul dan teruskan.

“Tesis PhD kedua ini memfokuskan kepada pengaruh Hukum Kanun Melaka serta adat istiadat Kesultanan Melayu Melaka dalam amalan istiadat Negeri Pahang berdasarkan hubungan sejarah kedua-dua negeri.

“Kajian ini bukan sekadar untuk tujuan akademik, tetapi sebagai usaha mendokumentasikan warisan bangsa agar terus difahami dan dihargai oleh generasi akan datang,” katanya.

Seramai 1,068 graduan diraikan pada istiadat berkenaan membabitkan 48 graduan pascasiswazah termasuk 30 pelajar PhD antarabangsa serta sembilan graduan Ijazah Sarjana, manakala 1,020 lagi merupakan graduan prasiswazah terdiri daripada Ijazah Sarjana Muda dan Diploma.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI