KOTA BHARU – Di sudut Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) Kubang Kerian, berdirinya sebuah Rumah Ronald McDonald (RMH) yang kelihatan seperti pusat komuniti biasa.
Ribuan keluarga dari Pantai Timur menganggap RMH ini sebagai rumah sementara apabila kawasan itu menjadi tempat air mata, doa dan kekuatan terkumpul menjadi penyambung harapan.
Sejak beroperasi pada 23 Jun 2019, RMH HPUSM telah membantu lebih 5,000 keluarga untuk menginap semasa menjalani rawatan di hospital dengan kebanyakannya terdiri daripada golongan B40.
Setiap tahun, hampir 1,000 keluarga bergilir menginap di sini sekali gus menjadikan rumah itu bukan sekadar tempat berteduh, tetapi lokasi untuk kembali bernafas ketika diuji dengan kesakitan anak yang masih bertarung di wad.
RMH HPUSM dibina Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia), dan terletak di kawasan seluas 0.4 hektar lengkap dengan 18 bilik keluarga, ruang rehat selesa, dapur, ruang dobi, bilik permainan kanak-kanak dan kemudahan tempat tidur bertaraf hotel.
Jarak rumah yang menjadi tempat tinggal anak yang menghidap penyakit kronik untuk mendapatkan manfaat secara percuma itu juga tidak sampai 10 minit ke wad pesakit.
Pengurus Besar RMHC Malaysia, Mohd. Nasri Mohd. Nordin berkata, RMH HPUSM bukan sekadar memenuhi keperluan penginapan, tetapi membawa makna lebih mendalam dalam perjalanan rawatan anak-anak kecil yang sedang berjuang.

Menurutnya, di rumah itu, keluarga bukan sahaja mendapat tempat tidur yang selesa, tetapi juga ruang untuk menangis serta berkongsi cerita, rasa resah dan doa.
“Apabila anak sedang sakit, kehadiran ibu bapa di sisi sangat penting. Ia bukan hanya soal menjaga, tetapi juga memberi kekuatan emosi yang besar. Boleh dikatakan RMH merupakan rumah kebajikan yang menjadi wadah kekuatan emosi.
“Kajian Association of Child Life Professionals (ACLP) turut membuktikan bahawa sokongan emosi ibu bapa menjadikan anak lebih tenang, selamat dan kurang cemas ketika berada di hospital.
“Ini adalah roh sebenar kewujudan RMH. Dua atau tiga hari mungkin boleh tidur hotel. Apabila anak-anak memerlukan rawatan setahun, kebanyakan keluarga tidak mampu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Lawatan Media ke RMH HPUSM, Kubang Kerian di sini, baru-baru ini.
Mohd. Nasri memberitahu, RMH diwujudkan di hospital-hospital seluruh dunia untuk memastikan ibu bapa tidak perlu berjauhan dengan anak ketika rawatan kritikal.
Beliau berkata, RMH HPUSM bukan sahaja ditampung oleh RMHC Malaysia, tetapi turut disokong kuat oleh komuniti Kelantan terutamanya warga Kubang Kerian dan Kota Bharu.
Menurutnya, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), orang awam dan warga kampus universiti datang membawa makanan dan menjalankan aktiviti bersama keluarga pesakit seperti menyediakan tuisyen untuk adik-beradik pesakit yang menginap pada setiap minggu.
“Sebagai contoh, pakar dan pegawai hospital turut menyumbangkan juadah berbuka puasa mengikut pakej yang ditetapkan sepanjang bulan Ramadan setiap tahun.
“RMH merupakan pusat komuniti yang dibiayai oleh orang ramai terutamanya pelanggan McDonald. Setiap tabung derma RMHC di lebih 370 restoran McDonald’s seluruh negara menyumbang langsung kepada operasi RMH.
“Ada pelanggan yang membundarkan bayaran selain memasukkan syiling tanpa mengira jumlah. Hasil sumbangan itu merupakan punca berdirinya sebuah rumah harapan yang menyelamatkan kehidupan ribuan keluarga,” katanya.

Menurut Mohd. Nasri, RMHC Malaysia turut menjalankan program lain seperti seperti bilik Terapi Sensori Ronald McDonald, ‘Gift of Smile’ untuk kanak-kanak sumbing, dan Pek Kembali ke Sekolah untuk keluarga berpendapatan rendah.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Klinikal HPUSM, Prof. Dr. Zaidi Zakaria, menjelaskan bahawa RMH memberi impak langsung kepada kejayaan rawatan.
Menurutnya, kewujudan RMH di HPUSM membantu memastikan rawatan susulan tidak terganggu, mengurangkan tekanan keluarga, mengelakkan mereka tidur di kaki lima atau kereta, membantu pesakit menerima sokongan moral berterusan dan meningkatkan keberkesanan rawatan kanak-kanak.
“RMH dilihat memberi manfaat besar dari sudut rawatan dan hospitaliti. Kehadiran keluarga sangat penting kerana ia memberi semangat kepada pesakit dan membantu proses pemulihan mereka.
“Pihak HPUSM akan mencadangkan ibu bapa pesakit agar menginap di RMH. Kelulusannya penginapan diberikan segera terutamanya kepada keluarga B40. Mereka yang pernah menginap di sini juga boleh membuat tempahan awal secara dalam talian sekiranya anak akan menjalani rawatan susulan dalam jangka masa panjang,” tegasnya.
Berkongsi manfaat RMH, seorang ibu tunggal, Nur Haniza Ariffin, 45, dari Kampung Pasir Chengal, Kuala Krai berkata, dia sebelum ini perlu menaiki feri menyeberangi sungai sebelum meneruskan perjalanan selama tiga jam dengan kereta ke Kubang Kerian.

Katanya, itu rutin yang terpaksa ditempuh untuk membawa anaknya, Nur Adawiyah Awang Noh, 17, yang menghidap penyakit saraf semasa menjalani rawatan fisioterapi lima kali seminggu di HPUSM.
“Sebelum ini, saya pernah menginap di RMH HPUSM ketika Nur Adawiyah koma selama lapan bulan pada 2023. Dia kini dia tidak mampu berdiri, penglihatannya kurang jelas dan dan pendengaran semakin merosot.
“Jika tiada RMH, saya tidak tahu lokasi untuk kami tidur. Saya dan anak pernah tidur di surau dan di dalam kereta. Apabila ada RMH di HPUSM, kami boleh mandi, berehat, dan fokus menjaga anak,” katanya.
Nur Haniza memberitahu, dia kehilangan suami akibat serangan jantung lima tahun lalu sehingga terpaksa berhenti kerja sebagai penoreh getah demi menjaga Nur Adawiyah sepenuh masa.
Menurutnya, dia bergantung sepenuhnya kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat selain pertolongan daripada dua anak yang sudah bekerja. – KOSMO! ONLINE














