BUKIT KAYU HITAM – Seorang aktivis memaklumkan dia menerima banyak pertanyaan daripada rakyat Malaysia sama ada selamat atau tidak untuk berkunjung ke Hatyai, Thailand selepas banjir besar baru-baru ini.
Menurut Abdul Halim Othman yang juga dikenali sebagai Cikgu Joe Satun, dia memaklumkan tiada halangan untuk pergi, namun perlu lebih berhati-hati.
“Banjir sudah surut tetapi kesan selepas banjir masih ada. Dalam dua hingga tiga minggu pertama, risiko beberapa penyakit seperti leptospirosis atau kencing tikus meningkat jika berjalan di kawasan berlumpur atau air kotor,” katanya hari ini.
Selain itu, katanya, risiko cirit-birit, kolera dan typhoid juga wujud akibat makanan dan minuman tercemar.
Ujarnya, terdapat juga risiko denggi kerana air bertakung menjadi tempat pembiakan aedes, jangkitan kulit akibat kawasan masih lembap dan kotor serta masalah pernafasan kerana bangunan berkulat.
Dia menasihati pengunjung minum air mineral sahaja, memilih kedai makan yang bersih serta mengelakkan kawasan berlumpur dan longkang bertakung.
“Pakai kasut yang sesuai jika berjalan di kawasan basah, elakkan selipar atau kasut yang tidak menutup seluruh kaki,” katanya.
Selain itu, pengunjung dinasihatkan jangan mengambil makanan yang diragui kesegarannya dan memilih hotel yang biliknya tidak lembap atau berbau.
Menurutnya, langkah-langkah pencegahan itu penting untuk mengurangkan risiko penyakit selepas bencana banjir.
“Keselamatan dan kesihatan diri perlu dijaga walaupun kawasan sudah kembali normal,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE














