Perang Ukraine sudah berlarutan hampir empat tahun, mengorbankan ribuan anggota tentera Kyiv dan Russia, namun angka kematian sebenar berkemungkinan besar jauh lebih tinggi dan menjadi rahsia kedua-dua negara.
Banyak paparan di media sosial menceritakan bagaimana perang ini berlaku dan antara teori popular termasuk Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mahu meluaskan pengaruhnya di Eropah Timur hingga ke sempadan Russia sekali gus mencetuskan tindak balas Moscow. Satu lagi teori membayangkan Presiden Vladimir Putin memulakan perang ini kerana mahu mengekalkan status quo Russia selepas empayar Kesatuan Soviet runtuh.
Beberapa pakar berkata, perang Ukraine sebenarnya berlarutan sejak 2014 lagi apabila Moscow menakluki Semenanjung Crimea dengan alasan melindungi penduduk berketurunan Russia daripada ditindas kerajaan Ukraine yang pro-Barat ketika itu. Bagaimanapun, teori yang menarik mata penulis menyatakan bahawa perang Ukraine sebenarnya bukan untuk meluaskan pengaruh dan kuasa NATO ke Eropah Timur atau mengekang cita-cita Kremlin dan jika benar sekali pun, ia bukan matlamat utama perang itu.
Teori tersebut memberitahu bahawa perang Ukraine adalah umpan ataupun ‘diversion’ yang dicipta atau dirancang entiti tertentu untuk menamatkan kuasa dan penglibatan Russia di rantau beribu-ribu kilometer jauhnya dari Moscow iaitu Asia Barat.
Sejak kebangkitan rakyat di negara-negara Arab dan Afrika Utara dalam tahun 2010-an yang bermula di Tunisia, banyak kerajaan berbentuk autokrasi yang dilihat anti-Barat tumbang satu demi satu, menyaksikan pertukaran rejim pemerintahan.
Pemerintah yang dikatakan diktator seperti Saddam Hussein, Zine Abidine Ben Ali, Ali Abdullah Salleh, Husni Mobarak, Omar al-Bashir dan Muammar Gaddafi dan terakhir Bashar al-Assad tumbang dalam kebangkitan rakyat yang mencetuskan penentangan bersenjata.
Teori sama mendakwa bahawa semua pemimpin tersebut digulingkan kerana mengamalkan permusuhan dan anti-Israel. Selepas mereka tumbang kecuali Bashar, Israel masih berdepan penentangan keras daripada Iran dan militia-militia bersenjata pro-Syiah di Lebanon, Syria dan Gaza.
Usaha Tel Aviv untuk meluaskan wilayahnya dihalang oleh kumpulan-kumpulan tersebut yang mendapat bekalan senjata dari Iran melalui Syria dan Lebanon. Syria menjadi transit bekalan senjata kepada pejuang Hizbollah dan Hamas.
Bashar sepatutnya digulingkan dan nyaris tumbang, namun diselamatkan oleh Kremlin di bawah pimpinan Presiden Vladimir Putin. Kumpulan penentang disokong Amerika Syarikat tewas di tangan Rejim Bashar yang mendapat bantuan Russia.
Israel juga tidak bebas menyerang Syria kerana dilindungi oleh Kremlin. Justeru, perang Ukraine didakwa menjadi medan untuk melemahkan Russia dan memaksa Moscow meninggalkan Asia Barat.
Apabila sekutu terkuat Iran itu berundur, cita-cita Israel untuk meluaskan kuasanya berjalan mudah dan lancar.
Kini apabila matlamat itu semakin hampir, Barat yang diketuai Amerika Syarikat melihat tiada sebab untuk membiarkan perang Ukraine berlarutan hingga mengancam keamanan di rantau Eropah dengan Presiden Donald Trump mahu perang itu segera ditamatkan.














