fbpx
TERTUDUH dibawa oleh anggota SPRM di Mahkamah Sesyen Kuantan, di Kuantan, hari ini.

Pengurus syarikat didenda RM60,000 tipu komisen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUANTAN – Seorang pengurus syarikat dihukum denda RM60,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menipu seorang pemilik syarikat sehingga kerugian RM30,000 bagi urusan komisen projek pemasangan papan iklan.

Tertuduh, Mohd Yusof Ibrahim, 58, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Sazlina Safie sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Yusof didakwa memperdaya pemilik Al-Khautsar Trading kononnya Pengarah Pembangunan Projek Konsortium Media AD Berhad meminta bayaran komisen RM30,000 sebagai syarat mendapatkan projek memasang serta menyelenggara papan iklan bersaiz 2200mm x 2400mm di kawasan awam, perumahan dan sekolah.

Namun sebenarnya, pegawai berkenaan tidak pernah meminta sebarang komisen. Perbuatan itu dilakukan tertuduh antara Jun hingga Julai 2025 di sekitar daerah ini. Kes dikendalikan di bawah Seksyen 415 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 417, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Rabiatul Addawiah Mohd Noorlee, memohon hukuman maksimum sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Mohd Yusof yang tidak diwakili peguam merayu hukuman diringankan dengan alasan tidak lagi bekerja, menanggung isteri yang turut tidak bekerja serta dua anak yang masih tinggal bersama.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh membayar denda RM60,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayarnya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN