SINGAPURA – Seorang netizen kecewa apabila sebiji karipap yang dibeli pada harga SGD$1 (RM3) mempunyai inti yang sangat sedikit di Singapura, lapor portal berita Stomp hari ini.
Dia membeli karipap tersebut di kedai Makan Melaka, Pusat Beli-Belah Boon Lay pada 28 November lalu.
“Saya beli saiz besar seperti biasa tetapi lihatlah intinya. Tidak sampai separuh pun dan kebanyakannya bawang,” katanya.
Pengguna berkenaan menjelaskan mengapa dia tidak memberitahu tentang karipap itu kepada kedai tersebut.
“Saya sudah biasa dengan kejadian seperti ini, di mana mereka hanya buat tidak tahu, masuk telinga kiri keluar telinga kanan apabila kita beri maklum balas.
“Berdasarkan pengalaman saya sebelum ini, saya rasa tiada gunanya bercakap dengan mereka dan lebih baik saya kongsi di Stomp supaya orang tahu apa yang mereka bayar,” ujarnya.
Sebagai respons kepada pertanyaan Stomp, kedai Makan Melaka berkata, mereka menghargai maklum balas tersebut dan menambah: “Kami akan sentiasa cuba sedaya upaya untuk memperbaiki perkhidmatan kami.” – AGENSI














