TEMASYA Sukan SEA bakal menjadi pentas awal buat skuad bola sepak negara keluar daripada bayangan Vietnam yang sering memegang watak antagonis kepada Malaysia.
Walaupun skuad senior berjaya menewaskan Golden Star Warriors 4-0 pada aksi kelayakan Piala Asia 2027, Jun lalu, kemenangan itu seperti tidak memberi impak positif buat peminat kerana skuad ketika itu dibarisi pemain warisan yang kini dipalit isu pemalsuan dokumen.
Walaupun tidak memiliki persiapan panjang, harapan besar diberikan kepada skuad B-23 negara dan pengendali pasukan, Nafuzi Zain wajib mencari ramuan terbaik untuk menepis segala persepsi negatif terhadap bakat muda negara.
Di sebalik kebimbangan yang wujud, Nafuzi lebih selesa untuk kekal dengan sikap positif bagi menyiapkan pasukan sekali gus mengelak tekanan berlebihan hingga mengundang kekecewaan buat peminat.
Bagaimanapun, Nafuzi tidak mahu terlalu memberi perhatian kepada aksi dengan Vietnam kerana harus melunaskan misi wajib menang ke atas Laos pada perlawanan pertama Kumpulan B, Sabtu ini.
“Kami tahu perlawanan pertama bertemu Laos adalah perlawanan yang penting dan selepas itu (aksi penentuan) dengan Vietnam. Paling penting kami harus layak ke separuh akhir dahulu dan selepas itu, semestinya kami mahu mara ke final untuk merebut pingat emas,” kata Nafuzi.
Mengambil kira Vietnam yang dilabel sebagai pasukan pilihan untuk memenangi pingat emas Sukan SEA 2025, Nafuzi yang memiliki tempoh rehat empat hari selepas aksi dengan Laos harus merangka strategi lebih baik bagi mengelak kegagalan lepasi peringkat kumpulan pada edisi lepas terus berulang.














