KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Sistem e-Tanah di Pulau Pinang memasuki fasa baharu apabila kerajaan menandatangani perjanjian konsesi kerjasama awam-swasta (PPP) bagi membangunkan sistem digital berkenaan dalam tempoh 14 tahun.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, model PPP itu memberi ruang kepada kerajaan memanfaatkan kepakaran teknikal serta inovasi sektor swasta, sambil memastikan kawal selia dan dasar pentadbiran kekal di bawah tanggungjawab kerajaan.
“Melalui kaedah ini, kerajaan memperoleh sokongan teknologi terkini, manakala pengurusan dasar kekal berada dalam kawalan kerajaan bagi memastikan ketelusan dan keberkesanan sistem,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani perjanjian konsesi pelaksanaan sistem e-Tanah secara kerjasama awam swasta bagi negeri Pulau Pinang Muzium Kesenian Islam, di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Pengerusi Eksekutif Puncak Tegap Sdn. Bhd, Syed Azmin Syed Nor.
Johari berkata, sistem e-Tanah menerusi PPP mula dilaksanakan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 2017 sebagai projek rintis sebelum diperluaskan ke Perak, Putrajaya, Labuan, Terengganu, Selangor, Pahang, Johor, Kelantan, Kedah dan Perlis.
Menurutnya, Kerajaan Persekutuan juga telah bersetuju untuk melaksanakan sistem sama di tiga negeri tambahan, iaitu Pulau Pinang, Melaka dan Negeri Sembilan.
“Dengan peluasan ini, kita berada di landasan kukuh untuk memastikan seluruh Semenanjung melaksanakan e-Tanah sepenuhnya menjelang 2030,” katanya.
Mengulas mengenai pelaksanaan konsesi tersebut, beliau memaklumkan sistem itu akan melalui fasa pembangunan selama dua tahun sebelum memasuki tempoh pengoperasian sepanjang 12 tahun.
“Sepanjang tempoh ini, pihak konsesi bertanggungjawab mengemas kini sistem secara berterusan, menyediakan latihan serta melaksanakan pemindahan teknologi sepenuhnya kepada pegawai negeri.
“Langkah ini penting bagi memperkukuh keupayaan dan kemahiran sumber manusia untuk memastikan sistem dapat diurus dengan berkesan selepas tempoh konsesi tamat kelak,” katanya. KOSMO! ONLINE














