MEMELUK Islam sejak tiga tahun lalu, penyanyi remaja Indonesia, Farel Prayoga menganggap penghijrahan yang dilakukan sebanyak dua kali mengubahnya menjadi insan lebih bersyukur.
Katanya, bukan sedikit dugaan dilalui selepas bergelar mualaf kali pertama pada usia 12 tahun apabila ketika itu hatinya masih berbolak-balik sebelum kembali lagi mengucap dua kalimah syahadah.
“Mungkin waktu itu saya terlalu mentah, dugaan yang datang juga besar. Pertama kali masuk Islam, saya seperti tak ikhlas sebab rasa terpaksa.
“Jadi, dua tahun kemudian saya kembali mengucap dua kalimah syahadah dengan perasaan penuh tulus selain berdoa terus ditetapkan hati.
“Syukur, sekarang makin tenang sebagai Muslim. Ini semua berkat sokongan insan sekeliling yang tidak putus menyuntik semangat serta mendoakan kesejahteraan saya,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran single baharu berjudul Lemak Manis di Hotel St Giles Boulevard, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Penyanyi asal Banyuwangi, Jawa Timur yang sudah empat tahun berada di bawah jagaan pengurusnya, Muhamad Rais Simpson berkata, kehidupannya kini semakin tenang apabila dapat menyambung pengajian peringkat menengah sambil mendalami Islam.
Bahkan, Farel yang menjuarai pertandingan azan di sekolahnya bulan lalu bersyukur apabila ramai rakan dan guru turut membantunya ke arah menjadi Muslim yang lebih baik.
“Sebenarnya masuk pertandingan melaungkan azan itu hanya suka-suka, tapi saya dapat sokongan ramai yang buatkan saya lebih bersemangat.
“Kalau sebelum ini cuma menyanyi, saya cuba belajar melaungkan azan. Alhamdulillah, tak sangka jadi pemenang,” ujarnya yang sudah merakamkan hampir 100 single itu.

Matang berbicara berbanding usianya, Farel yang pernah terpalit isu didera ibu tiri selain mendakwa dipaksa menjadi penyanyi jalanan seawal umur lapan tahun enggan lagi menyelak kisah lampau.
Katanya, biarlah kisah pahit itu menjadi lipatan sejarah kerana dirinya kini mahu terus memandang ke hadapan untuk menjadi insan berjaya dunia dan akhirat.
“Fokus saya kini adalah sekolah dan kerjaya nyanyian. Saya gembira tinggal di Jakarta menyambung pelajaran serta memenuhi undangan pentas.
“Saya masih berhubung dengan bapa, manakala sudah bertemu ibu kandung pada awal tahun ini. Doakan semuanya baik-baik sahaja,” ungkapnya.
Penyanyi yang meledak sejak diundang mengadakan persembahan di Istana Presiden bersempena kemerdekaan Indonesia ke-77 pada 2022 mengakui, peluang membina nama di Malaysia disambut dengan penuh keterujaan.
“Pengurusan saya Farel Prayoga Music bekerjasama dengan syarikat Malaysia, Indigital Music memilih lagu, Lemak Manis ciptaan dan nyanyian asal Roslan Madon untuk dendangan perkenalan.
“Apabila diterbitkan, lagu itu meraih sambutan dengan streaming tertinggi di Indonesia. Ini sesuatu yang istimewa dan selepas ini akan menyusul lagu baharu ciptaan komposer tempatan,” tutupnya. – KOSMO! ONLINE














