fbpx
AHMAD Zahid menyantuni mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Dewan Pejabat Tanah dan Daerah Bagan Datuk hari ini.

BN kemuka senarai calon isi Kabinet Sabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAGAN DATUK – Barisan Nasional (BN) telah mengemukakan senarai nama calon yang dianggap layak untuk dipertimbangkan bagi mengisi barisan Kabinet Menteri Kerajaan Sabah yang baharu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, proses pembentukan kerajaan negeri akan disegerakan dengan semua parti yang mendukung kerajaan diminta mengemukakan nama calon masing-masing untuk pertimbangan jawatan menteri dan timbalan menteri.

“Kita diminta (mengemukakan calon) dan kita telah pun menyerahkan (senarai calon),” katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima taklimat ringkas mengenai situasi banjir negara di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Bagan Datuk di Pejabat Daerah dan Tanah Bagan Datuk, di sini hari ini.

Ahmad Zahid memberitahu, kerjasama dan sokongan daripada pelbagai parti selain Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berada dalam keadaan sangat baik, sekali gus membantu memperkukuhkan pembentukan kerajaan negeri yang baharu.

Menurutnya, beliau sendiri telah menghubungi Ketua Menteri Sabah yang baharu dan Perdana Menteri bagi memastikan kestabilan politik di Sabah dapat dicapai segera.

“Walaupun pada peringkat awal timbul persoalan mengenai kecukupan majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri, namun usaha yang dilaksanakan secara terselaras akhirnya membuahkan hasil,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut merakamkan penghargaan kepada Yang Dipertua Negeri Sabah atas nasihat dan pandangan penting yang diberikan bagi memastikan kestabilan politik dapat diwujudkan demi kelangsungan pembangunan negeri.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, kestabilan itu amat diperlukan supaya pelaksanaan rancangan pembangunan melibatkan bekalan elektrik, air dan infrastruktur jalan raya dapat diteruskan dan dipertingkatkan.

“Yang paling penting, kesejahteraan rakyat dan agenda mencapai Sabah Maju Jaya dapat direalisasikan sepenuhnya,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN