JAKARTA – Seorang pemandu mengancam pengguna jalan raya menggunakan pedang selepas dibunyikan hon gara-gara memotong barisan, lapor laman berita Detik semalam.
Kejadian berlaku di Pondok Indah, Jakarta Selatan.
Dalam satu video tular di laman Instagram, pemandu Suzuki Karimun tersebut memotong barisan secara agresif ketika mahu masuk ke lorong paling kanan berhampiran Tol Jorr susur keluar Pondok Indah.
Pemandu kereta di belakangnya yang memuat naik video tersebut kemudian membunyikan hon dan menyalakan lampu tinggi sebagai memberi peringatan.
Namun, pemandu berkenaan segera memberhentikan kenderaannya dan keluar dari kereta sambil memegang sebilah pedang.
“Dia datang ke tepi cermin kereta saya dan mengeluarkan kata-kata kesat. Dia kemudian mengeluarkan senjata tajam seperti pedang sambil mangacukannya ke arah kami,” kata perakam video dikenali sebagai @indrawansonny.
Tambah individu tersebut, pemandunya kemudian cuba menghindar, namun lelaki tersebut mengejar kenderaan mereka dan mengetuk cermin kereta.
Tidak dijelaskan keadaan mereka selepas itu dan bagaimana situasi tersebut dapat dipulihkan. – AGENSI














