BUKAN saja golongan pelajar, malah ibu bapa juga teruja menantikan musim cuti sekolah yang hampir tiba tidak lama lagi.
Pelbagai perancangan aktiviti mahupun destinasi percutian sudah tersenarai bagi mengisi masa sepanjang cuti persekolahan akhir tahun nanti.
Salah satu destinasi terbaik untuk dikunjungi pada musim cuti sekolah nanti adalah Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) di Kuala Terengganu.
Lokasi pembelajaran komuniti yang menggabungkan sains, teknologi dan kreativiti dalam suasana santai itu menawarkan pengalaman interaktif menarik khususnya buat kanak-kanak.
Menurut Pengurus Korporat PSKT, Mohd. Hakimi Awang Su, para pelawat berpeluang meneroka ilmu pengetahuan dengan lebih praktikal dan mengujakan di pusat itu.
“PSKT menempatkan 10 buah galeri pelbagai tema termasuk Galeri Sains dan Teknologi, manakala terdapat dua galeri memberi fokus kepada aktiviti hands-on iaitu Funavation dan MakersLab.
“Pameran interaktif seperti ini membantu pelawat memahami konsep sains dengan lebih mudah kerana mereka bukan saja dapat melihat, malah melakukannya sendiri,” katanya kepada CitaRasa.
Bahagian Dinosaur Encounter pula menjadi pameran bertema paling popular dan tumpuan utama pengunjung.

Bahagian itu mempamerkan lebih 10 spesies dinosaur termasuk tiga jenis yang pernah ditemui di Pantai Timur dan wujud di Tanah Melayu.
Dinosaur yang dianggarkan berusia antara 65 juta hingga 200 juta tahun itu memberi peluang kepada pelawat untuk melihat sendiri bukti kewujudan haiwan tersebut seperti dalam filem Jurassic World.
“Ia bukan sekadar galeri, malah pengalaman imersif yang memupuk rasa ingin tahu tentang sejarah bumi dan masa silam.
“Segelintir pihak mungkin tidak tahu atau menyedari bahawa Malaysia mempunyai sejarah penemuan hebat ini, bukan hanya di luar negara,” katanya.
Mengulas usaha PSKT sebagai lokasi pelancongan pendidikan, Hakimi memberitahu, pusat tersebut menghidupkan pembelajaran menerusi aktiviti luar bilik darjah.
Keunikan PSKT turut terserlah melalui identiti tempatan menerusi pameran dan aktiviti yang mengangkat ekosistem paya bakau, penyu dan kehidupan pesisir pantai sebagai tunjang pameran.
“Kami ingin jadikan PSKT ruang pembelajaran terbuka yang relevan kehidupan sebenar, kerana sains tidak hanya dibaca tetapi dapat dirasai.
“Pendekatan kami lebih bersifat akar umbi kerana kami bekerja rapat dengan sekolah, badan bukan kerajaan alam sekitar dan komuniti setempat kerana sains di sini bukan konsep tetapi kehidupan,” ujarnya.
Selain itu, modul outdoor experiential learning seperti Wetlands Camp, Turtle Camp, Water Quality dan Replanting, Wetlands & Turtle Awareness dan eksplorasi biodiversiti memberi peluang kepada komuniti mengenali alam dengan lebih dekat.
PSKT juga menawarkan pelbagai aktiviti menarik setiap hujung minggu dan musim cuti sekolah, antaranya persembahan sains, bengkel robotik dan pengaturcaraan dan MakersLab.
Galeri interaktif berasaskan digital, simulasi dan permainan menjadikan kunjungan keluarga lebih bermakna seiring usaha PSKT yang ingin memberi pengalaman dan inspirasi kepada generasi muda.














