PETALING JAYA – Seorang wanita berkongsi ujian dihadapi mereka sekeluarga apabila suaminya menerima kunci rumah baharu pada Isnin lalu, namun keesokan harinya kediaman tersebut dinaiki air banjir.
Menerusi video dan gambar dikongsikan oleh pengguna TikTok Sarahyana memperlihatkan rumah batu satu tingkat dibina di sebuah kampung di Titi Gantung, Bota, Perak dikelilingi air banjir yang turut menjejaskan rumah-rumah jirannya yang lain.
Pada gambar seterusnya, kelihatan suami wanita itu berada di hadapan rumah impian mereka sambil memegang replika kunci iaitu sehari sebelum kejadian banjir.
“24 November dapat kunci rumah, 25 November banjir. Kawasan ni tak pernah banjir, ya betul musim ni pelik sikit,” katanya pada kapsyen video serta menjawab pertanyaan pengguna TikTok lain.
Suami Sarahyana, Hafizul Shafiq turut meninggalkan komen pada hantaran berkenaan berhubung rumah baharu mereka.
“Terima kasih semua yang prihatin. Rezeki rumah siap seminggu sebelum banjir dan dapat kunci sehari sebelum banjir. Takdir air banjir masuk rumah dulu sebelum tuan rumah,” katanya.
Dalam pada itu, orang ramai meninggalkan pelbagai komen bersimpati dengan keluarga tersebut selain memberikan kata-kata semangat menempuh ujian berkenaan.
“Salah satu cara tuhan nak uji insya-Allah. Tuhan nak bagi lebih daripada ini, doa moga dijauhkan daripada benda buruk sahaja. Semoga kuat,” kata pengguna TikTok Kiroro Kim.
“Sama macam mana situasi empat tahun lalu dapat kunci belum duduk, banjir dulu. Air masuk rumah sikit saja masa tu. Tahun ni lagi sejengkal nak sampai tingkap, lebih daripada pinggang,” kongsi seorang lagi pengguna TikTok Kakak Lyna.
“Insya-Allah semuanya ada hikmah. Lepas ni kena sedia beli perabot kayu jati atau kayu tahan banjir. Apa pun tahniah dapat rumah sendiri,” kata Moonirah. – KOSMO! ONLINE















