PETALING JAYA – CIMB Group Holdings Berhad mencatatkan prestasi kewangan yang berdaya tahan untuk tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2025 dengan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM8.12 bilion dan purata pulangan tahunan atas ekuiti (ROE) sebanyak 11.3 peratus.
Prestasi tersebut didorong oleh pelaksanaan strategi Forward30 yang berdisiplin, walaupun terdapat halangan makroekonomi dan penurunan kadar yang berterusan. Pendapatan sesaham (EPS) ialah 55.3 sen.
Bagi suku tahun ketiga, CIMB menyaksikan pertumbuhan kukuh merentasi metrik utama, dengan PBT meningkat sebanyak 7.3 peratus kepada RM2.84 bilion.
Keuntungan bersih pula meningkat 10 peratus kepada RM2.08 bilion, meningkatkan keuntungan bersih sembilan bulan Kumpulan kepada RM5.94 bilion.
Memandangkan kedudukan modal CIMB yang semakin kukuh, Kumpulan telah mengumumkan hasrat untuk memulangkan modal sehingga RM2 bilion kepada para pemegang saham menjelang akhir tahun 2027, yang akan dilaksanakan melalui dividen khas dan/atau pembelian balik saham, tertakluk kepada keadaan pasaran dan kelulusan kawal selia.
Sebagai sebahagian daripada pulangan modal berkenaan, Kumpulan mengumumkan dividen khas sehingga RM760.2 juta, atau 7 sen sesaham yang akan diagihkan kepada para pemegang saham pada 24 Disember 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Group, Novan Amirudin berkata, pulangan modal tersebut merupakan sebahagian daripada strategi Forward30 untuk sentiasa berdisiplin dengan modal dan mencerminkan keyakinan Kumpulan terhadap trajektori prestasi jangka panjang.
“Dengan ini, kami dapat mengembalikan modal kepada pemegang saham dengan cara yang terukur dan bertanggungjawab, sambil memastikan kami kekal berada pada kedudukan yang baik untuk pertumbuhan masa hadapan.
“Menjelang suku terakhir tahun 2025, kami kekal optimis untuk menutup tahun ini dengan kukuh dan memenuhi semua sasaran,” katanya dalam kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE















