PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangka memohon perintah reman terhadap ahli perniagaan, Albert Tei, dan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi esok bagi membantu siasatan kes tohmahan rasuah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan terhadap dakwaan rasuah melibatkan bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri itu dijalankan segera berikutan kepentingan awam serta bagi mengelakkan manipulasi pihak tertentu.
Beliau berkata, siasatan melibatkan dakwaan bahawa Albert Tei memberi rasuah kepada individu terbabit bagi mendapatkan semula wang yang dikatakan telah disalurkan kepada beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah.
Menurutnya, ketiga-tiga individu utama telah ditahan, iaitu Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin; Albert Tei atau nama sebenarnya Tei Jiann Cheing; serta seorang wanita, Sofia Rini Buyong.
“Sofia Rini ditahan pada 27 November 2025 kira-kira pukul 10.30 malam ketika hadir ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya untuk membantu siasatan. Pada 28 November 2025, permohonan reman dibuat di Mahkamah Majistret Putrajaya dan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan beliau direman selama empat hari sehingga 1 Disember 2025.
“Manakala, Albert Tei yang pada awalnya dijadualkan hadir memberikan keterangan pada 1 Disember telah diminta tampil lebih awal, namun enggan memberi kerjasama. Beliau akhirnya ditahan di rumahnya pada 28 November 2025, pukul 10.15 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azam berkata, Albert Tei merupakan individu paling penting bagi melengkapkan siasatan kes tersebut.
“SPRM turut menyerahkan notis Seksyen 28A(9) Kanun Prosedur Jenayah yang memberi kuasa kepada pihak penyiasat menafikan hak tertuduh untuk berhubung dengan peguam atau mana-mana pihak lain bagi melindungi integriti siasatan,” katanya.
Sementara itu, Shamsul Iskandar ditahan pada pukul 12.51 tengah hari di Pejabat SPRM selepas hadir memberikan keterangan kira-kira jam 12 tengah hari.
Tambahnya, siasatan dijalankan secara profesional dan adil berdasarkan undang-undang, dan mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan tindakan penahanan boleh membawa perkara itu ke mahkamah.
“Saya telah mengarahkan pegawai siasatan untuk melengkapkan kertas siasatan dalam tempoh seminggu sebelum dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk keputusan secepat mungkin.
“Saya menyeru semua pihak untuk bersabar dan tidak membuat sebarang spekulasi,” katanya. – KOSMO! ONLINE














