fbpx
WA SERN

Skuasy tekad cipta kejutan acara jumbo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEKANGAN masa menjadi cabaran utama buat pemain skuasy muda negara, Low Wa Sern dalam membentuk keserasian ampuh bersama gandingannya, Harith Danial Jefri menjelang Sukan SEA Thailand yang bakal membuka tirai pada 9 Disember ini.

Atlet berusia 18 tahun itu mengakui tugas berat menanti mereka apabila sesi latihan gandingan bagi acara beregu jumbo lelaki baru sahaja bermula minggu ini, memberikan mereka tempoh kurang dua minggu untuk mendapatkan rentak terbaik.

Biarpun berdepan persiapan singkat, Wa Sern kekal positif dan enggan menjadikan situasi tersebut sebagai alasan gagal mempamerkan aksi bertenaga di Thailand nanti.

“Sudah pasti menjadi satu penghargaan dapat mewakili Malaysia dan saya amat bersyukur kerana telah dipilih. Untuk temasya kali ini, saya akan bergandingan bersama Harith Danial.

“Memandangkan kami hanya mempunyai kurang dua minggu untuk melakukan persiapan, fokus utama kini adalah mendapatkan keserasian terbaik di antara kami. Itu cabaran terbesar kami ketika ini,” katanya.

Mengulas mengenai sasaran, Wa Sern bertekad mahu membalas kepercayaan yang diberi dengan membawa pulang keputusan positif buat kontinjen negara.

“Semestinya kami akan lakukan yang terbaik dan sudah pasti sasaran kami mahu mendapatkan keputusan yang bagus di sana nanti,” jelasnya.

Edisi kali ini menyaksikan Malaysia buat kali pertama menghantar wakil acara beregu jumbo lelaki dan campuran selain acara tradisi perseorangan lelaki serta wanita.

Sebagai rekod, skuad skuasy negara mempunyai reputasi cemerlang di pentas Asia Tenggara dengan kali terakhir sukan itu dipertandingkan pada edisi Manila 2019 menyaksikan Malaysia membawa pulang empat pingat emas, satu perak dan satu gangsa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI