KUALA LUMPUR – Seorang ‘runner’ mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mendatangkan cedera
terhadap wartawan sukan, Haresh Deol di Bangsar Selasa lalu.
Tertuduh R.Krishan, 37, membuat pengakuan bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Illi Marisqa Khalizan.
Bagaimanapun mahkamah menetapkan 22 Januari ini bagi fakta kes sebelum hukuman dijatuhkan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan seorang suspek yang masih bebas didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Haresh Singh Chain Singh, 43.
Kesalahan itu didakwa dilakukan berhadapan sebuah bangunan, Jalan Telawi 3, Bangsar di sini
antara pukul 3.10 petang hingga 3.32 petang pada 25 November lalu yang didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama seksyen 34 kanun sama.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan pemenjaraan maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Hench Goh manawarkan jaminan RM4,000 sementara menunggu fakta kes dan jatuh hukum.
Bagaimanapun peguam Mohamad Salehen Mastor yang mewakili tertuduh memohon jumlah ikat jamin itu dikurangkan kerana anak guamnya hanya bekerja sebagai ‘runner’ selain mempunyai tanggungan isteri dan enam anak.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Majistret Illi Marisqa membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000.
Mahkamah kemudian menetapkan 22 Januari ini bagi fakta kes sebelum hukuman dijatuhkan.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan polis tidak menolak kemungkinan Haresh Deol yang diserang sekumpulan individu di Bangsar di sini bukan sasaran sebenar suspek.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, setakat ini siasatan menunjukkan motif kejadian tersebut berpunca daripada isu peribadi.
Fadil berkata, lelaki tempatan berusia 37 tahun yang ditahan itu dipercayai menganggur dan mempunyai rekod jenayah. Lelaki itu direman bagi membantu siasatan sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).
“Siasatan masih dijalankan. Kita akan aju siasatan ini kepada AGC sama ada tuduh atau tidak tetapi setakat ini, kita akan cadang untuk tuduh,” katanya.
Sebelum itu, polis mengesahkan menerima laporan daripada Haresh berhubung kejadian pada pukul 4 petang kelmarin yang dibuat di Pondok Polis Bangsar di sini.
Kejadian berlaku di Jalan Maarof berhampiran parkir sebuah pusat beli-belah ketika mangsa sedang berjalan di kaki lima menuju ke Jalan Telawi.
Sebelum itu, Haresh menerusi hantaran di laman X mendakwa diserang dua lelaki sementara seorang lagi individu merakam insiden serangan tersebut dengan menggunakan telefon bimbit.- KOSMO! ONLINE















