KLANG – Pelaburan RM150,000 seorang penduduk untuk menaik taraf rumahnya akhirnya berbaloi apabila kediamannya kekal ‘kering’ ketika banjir kembali melanda Meru pagi ini.
Menurut Iffa Asnita Abd. Hadi, 27, kerja-kerja naik taraf itu siap pada sebulan lalu dengan lantai dan bumbung rumah dinaikkan bagi mengelakkan air melimpah masuk kediaman mereka.
Katanya, kawasan sekitar Meru mula dilanda banjir kira-kira pukul 7 pagi tadi selepas hujan berterusan sejak pukul 1.30 petang semalam.
“Kediaman saya terletak di kawasan agak rendah dan paras air di luar rumah melebihi paras betis kira-kira pukul 10 pagi tadi.
“Air naik lagi cepat hari ini kerana longkang dan parit masih lagi dipenuhi air, kesan daripada banjir pada Isnin. Namun syukur, susulan kerja-kerja naik taraf itu membuatkan rumah tidak dimasuki air,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.-KOSMO! ONLINE















