PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan bahawa beliau tidak akan melindungi mana-mana pihak termasuk bekas setiausaha politik kanannya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, sekiranya perlu disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Jurucakap kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri menerusi mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini.
“Perdana Menteri memberi sedikit maklumat kepada Jemaah Menteri mengenai bekas setiausaha politik kanannya yang telah meletak jawatan.
“Perdana Menteri menegaskan bahawa beliau tidak akan melindungi mana-mana pihak (atau) sesiapa pun sekiranya ada apa-apa aspek yang perlu disiasat oleh pihak berkuasa termasuk SPRM,” katanya menerusi sidang akhbar mingguan selepas mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.
Pada Selasa, Shamsul Iskandar mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, berikutan terdapat percubaan untuk menyerang beliau dengan perkara yang boleh merosakkan imej Kerajaan Madani.
Mengulas lanjut, Menteri Komunikasi itu berkata, Anwar turut memberi peringatan kepada semua ahli Jemaah Menteri untuk sentiasa memantau para pegawai mereka.
“(Mereka) tidak akan dilindungi sekiranya berlaku apa-apa perkara yang mungkin bersifat salah laku. (Ini kerana) tiada sesiapa pun yang terkecuali daripada undang-undang dalam negara kita,” ujarnya.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai jawatan politik yang disandang Shamsul Iskandar, Fahmi memaklumkan setakat ini masih tiada sebarang perbincangan di buat di peringkat parti.
“Memandangkan waktu ini, beliau baru meletakkan jawatan, belum lagi ada perbincangan di pihak parti mengenai apa-apa jawatan politik. Jadi mungkin kita perlu tunggu sehingga mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) akan datang,” katanya.- KOSMO! ONLINE














