JAKARTA – Satu klip video tular di Tapanuli Tengah, wilayah Sumatera Utara memaparkan detik menyayat hati apabila penduduk terpaksa menyimpan bayi di dalam kotak selepas kawasan itu ditenggelami banjir besar, lapor portal berita Indozone.
Kejadian berlaku di daerah Tukka, baru-baru ini.
Rakaman video dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @nuter.id menunjukkan seorang lelaki sedang berjalan di atas bumbung sambil membawa kotak plastik berisi seorang bayi.
Dia kemudian menyerahkan kotak tersebut kepada mangsa banjir yang berteduh di sebuah bilik melalui tingkap.
Selain diletakkan di dalam kotak, bayi itu dibungkus dengan kain agar tidak kesejukan.
Proses menyelamat bertambah sukar kerana permukaan bumbung yang licin dengan paras air hampir mencapai tingkat atas.
Rakaman itu menjadi tular dan mencatatkan lebih 7,000 komen.
“Saya menangis tengok video ini. Bayi itu dibawa ke tempat selamat,” kata seorang netizen.
“Lindungi saudara kami di sana ya Tuhan. Kami cuma mampu berdoa,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI















