KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki yang tular kerana disyaki menceroboh tandas untuk mengintai seorang wanita di sebuah pusat beli-belah di bandar raya ini pada minggu lalu berjaya ditahan polis di Kampung Bukit Kecil, Setiu hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, lelaki berusia 24 tahun itu di sebuah kedai gunting rambut pada pukul 11 pagi dan soal siasat awal mendapati suspek mengaku memasuki tandas wanita berkenaan untuk merakam mangsa.
“Begitupun rakaman video terbabit tidak sempat dilakukan ekoran mangsa bertindak menyimbah air mengenai telefon bimbit suspek. Kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan Seksyen 509 akta sama,” katanya di sini hari ini.
Kosmo! 22 November lalu melaporkan seorang lelaki berambut perang sedang diburu polis kerana disyaki menceroboh tandas untuk mengintai seorang wanita di sebuah pusat membeli-belah di bandar raya ini.
Dalam kejadian pada pukul 6.12 petang itu, mangsa yang merupakan seorang jurujual wanita ternampak sebuah telefon bimbit sedang melakukan rakaman dari celahan pintu tandas yang sedang digunakannya.- KOSMO! ONLINE















