KANGAR – Pasangan suami isteri warga emas dari England yang terperangkap di sebuah hotel di sini akibat banjir berjaya diselamatkan anggota polis.
Mereka yang dikenali sebagai John dan Chris dikatakan meminta tolong selepas tidak dapat keluar kerana pintu tersekat.
Jeritan pasangan itu disedari tiga anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang ketika itu sedang menjalankan rondaan dan pemantauan banjir sekitar Kangar.
Tiga anggota polis terbabit mengambil masa beberapa minit sebelum berjaya membuka pintu jeriji dan mengeluarkan mangsa.
Mangsa memberitahu mereka telah beberapa hari tidak mendapat makanan dan keperluan sudah habis.
Anggota polis dari URB Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar kemudiannya membawa mangsa ke sebuah pasar raya untuk makan dan membeli barang keperluan sebelum meneruskan pemantauan banjir.
– KOSMO! ONLINE














