MELAKA – Mangsa banjir yang juga penghidap penyakit kronik boleh mendapatkan bekalan ubat secara percuma selama tujuh hari di semua cawangan Farmasi Alpro, seluruh negara.
Ketua Farmasi dan Pengarah Perhubungan Farmasi Alpro, Lim En Ni berkata, bantuan itu diberikan di bawah program Life-Saving Medication Care bagi memastikan pesakit penyakit kronik tidak terputus bekalan ubat.
“Mangsa banjir boleh mendapatkan bekalan ubat penyakit kronik secara percuma selama tujuh hari di mana-mana 300 cawangan Farmasi Alpro di seluruh negara.
“Alpro ePharmacy turut menyediakan konsultasi dalam talian dan e-preskripsi percuma untuk mereka yang kehilangan preskripsi asal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, bantuan itu diaktifkan susulan situasi banjir ketika ini yang menyukarkan pesakit penyakit kronik mendapat akses kepada bekalan ubat.
“Pesakit diabetes, hipertensi dan penyakit jantung berdepan risiko komplikasi serius jika mereka berhenti mengambil ubat. Mereka perlu kekal pada rawatan.
“Ada mangsa yang dipindahkan tanpa sempat menyelamatkan ubat penting, justeru program ini diaktifkan bagi memastikan kesinambungan rawatan dapat diteruskan tanpa memikirkan bebanan kewangan,”ujarnya.
Untuk maklumat lanjut mengenai program ini atau lokasi Farmasi Alpro terdekat, orang ramai boleh menghubungi talian khidmat pelanggan di 013-398 2923 atau berhubung dengan ahli farmasi melalui WhatsApp Alpro ePharmacy di 019-702 1923. – KOSMO! ONLINE















