BACHOK – Seorang lelaki dicekup selepas dipercayai mencabul seorang remaja perempuan semasa mereka berlindung di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini kelmarin.
Suspek berusia 21 tahun yang turut ditempatkan di PPS berkenaan disyaki mencabul remaja perempuan berusia 16 tahun kira-kira pukul 11 pagi.
Menurut sumber, mangsa tidak mengenali suspek dan mereka hanya berbual-bual ketika berada di PPS berkenaan.
Sumber itu berkata, lelaki itu dipercayai mencabul mangsa sebelum remaja berkenaan memaklumkan kejadian itu kepada ibunya.
“Ibu mangsa terus membuat laporan polis sebelum suspek ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohd Ismail Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan suspek ditahan reman lima hari bermula kelmarin hingga Ahad ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
“Suspek juga mempunyai rekod jenayah lampau berkait kes dadah dan jenayah,” katanya. – KOSMO! ONLINE















