PETALING JAYA – Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika Syarikat dibuat demi masa depan negara.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ART adalah langkah ke hadapan yang penting untuk ekonomi Malaysia.
“Kita perlu jelas, perjanjian ini dirangka untuk mempertahankan dan mengembangkan kepentingan ekonomi kita, bukan sebaliknya.
“Ingat, ekonomi global bergerak pantas. Jika kita tidak bertindak segera, kita berisiko ketinggalan dalam rantaian bekalan kritikal,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Tengku Zafrul berkata, ART memberikan Malaysia kepastian dalam perdagangan terutama untuk eksport yang menyumbang kepada jutaan pekerjaan di Malaysia
Justeru, katanya, segala keraguan mengenai kedaulatan atau hak istimewa dijawab dengan tegas dan ia kekal dilindungi di bawah kerangka perundangan Malaysia.
“Marilah kita fokus kepada peluang yang dapat diraih: Bagaimana ART dapat memastikan Malaysia terus menjadi destinasi pelaburan utama dan pemain yang berwibawa di pentas dunia,” katanya. – KOSMO! ONLINE















