HONG KONG – Kebakaran paling dahsyat di Hong Kong dalam tempoh beberapa dekad akhirnya berjaya dipadamkan hari ini, namun angka kematian terus meningkat kepada sekurang-kurangnya 94 orang.
Api merebak pantas di kawasan perumahan Wang Fuk Court, daerah Tai Po, utara Hong Kong malam Rabu lepas. Kebakaran itu merebak melalui lapan bangunan kediaman tinggi dan memusnahkan kompleks yang padat dengan penghuni.
Selepas terbakar selama lebih 40 jam, api ‘sebahagian besarnya telah dipadamkan’ menjelang pukul 10.18 pagi tadi, kata perkhidmatan bomba ketika mengumumkan bahawa operasi mereka sudah berakhir.
Pihak berkuasa sedang menyiasat punca kebakaran itu, termasuk memeriksa perancah buluh dan jaring plastik yang melilit kompleks kediaman itu sebagai sebahagian daripada kerja pengubahsuaian utama.
Di blok-blok pangsapuri yang hangus, pasukan penyelamat masih mencari mangsa terselamat dan memasukkan mayat ke dalam beg-beg hitam. Seorang wartawan AFP mengira terdapat empat mayat dimasukkan ke dalam beg hitam dalam tempoh 15 minit.
Semua mayat dibawah ke bilik mayat berhampiran di Sha Tin, manakala waris mangsa tiba pada sebelah petang untuk proses pengecaman.
Ramai mangsa dipercayai belum ditemui, walaupun jumlah sebenar orang hilang tidak dikemas kini sejak awal kelmarin.
Hari ini, pihak berkuasa berkata, lebih 50 orang masih dirawat di hospital, dengan 12 dalam keadaan kritikal dan 28 mangsa serius.
“Satu bangunan terbakar dan api merebak ke dua blok bangunan lain dalam masa kurang 15 minit.
“Kebakaran merebak sangat pantas. Api membara merah, saya gerun memikirkannya,” kata seorang saksi kejadian berusia 77 tahun bernama Mui.
Kebakaran itu adalah yang paling berdarah di Hong Kong sejak tahun 1948, apabila letupan diikuti dengan kebakaran membunuh sekurang-kurangnya 135 orang. – AFP















