SABAK BERNAM – Perjalanan seorang lelaki menjadi saksi pernikahan anak saudaranya bertukar haru biru apabila kenderaan mewah dinaiki terkandas hampir lima jam dalam banjir di Jalan Sungai Panjang – Tanjung Malim, di sini, hari ini.
Kejadian berlaku pukul 2 dengan lelaki yang menaiki kereta jenis Ford Mustang GT bersama tiga ahli keluarganya dari Kuala Lumpur menuju ke Kampung Gajah, Perak.
Menurut abangnya yang mahu dikenali sebagai Manan, 56, dia menerima panggilan daripada adiknya selepas solat Jumaat yang memaklumkan terperangkap banjir di lokasi itu.
Katanya, adiknya sekeluarga sepatutnya tiba awal untuk hadir majlis pernikahan pada pukul 5 petang.
“Saya terus bergegas untuk membantu, tetapi banjir terlalu dalam dan pacuan empat roda saya tidak cukup tinggi.
“Adik diselamatkan selepas sebuah traktor milik penduduk menunda keretanya sejauh tiga kilometer,” katanya ketika ditemui hari ini.
Laluan tersebut terputus sepanjang satu kilometer susulan limpahan air dari Sungai Bernam.-KOSMO! ONLINE















