LONDON – Ejen bintang muda Chelsea, Estevao mendedahkan faktor utama mereka memilih dan membuat keputusan untuk memilih The Blues biarpun menerima tawaran daripada banyak kelab.
Andre Cury mengakui beberapa kelab gergasi Eropah termasuk, Arsenal, Barcelona dan Real Madrid menghantar pasukan pemantau bakal ketika Estevao beraksi bersama Palmeiras dan menyatakan minat.
Bagaimanapun, menurutnya hanya Chelsea yang bersedia untuk memberikan peluang kepada kliennya itu untuk beraksi sebagai pemain tengah dan pemain tengah menyerang sekali gus menjadi faktor mereka memilih Stamford Bridge.
“Mereka (Chelsea) satu-satunya kelab yang melihat bakat Estevao sebagai pemain tengah. Saya mungkin silap, tetapi kami mempunyai banyak pilihan. Memilih Chelsea saya fikir adalah tepat.
“Kebanyakan mereka lebih gemar meletakkan Estevao di bahagian sayap, namun saya fikir itu membuatkan kualiti dan kemampuannya terbatas. Anda boleh lihat, pemain yang bermain di posisi No. 10 sentiasa menonjol,” katanya.
Sejak menyertai Chelsea dari Palmeiras pada musim panas lalu, Estevao muncul antara pemain baharu yang berjaya mempamerkan aksi luar biasa, malah dia juga mula menjadi kesayangan peminat kelab itu.
Pemain berusia 18 tahun itu sudah meledak lima gol dalam 11 penampilan bersama Chelsea dalam semua kejohanan termasuk jaringan menarik ketika membantu pasukan itu membenam Barcelona pada aksi Liga Juara-Juara kelmarin. – AGENSI















