SAYA ada satu persoalan, terdapat permintaan daripada pemilik kedai gunting rambut untuk mengambil rambut pelanggan yang telah dipotong bagi tujuan pendermaan kepada pesakit kanser keguguran atau botak kerana kesan rawatan kimoterapi. Rambut tersebut akan dihantar ke pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk dijadikan rambut palsu, kemudian diberikan kepada pesakit kanser. Kos bagi penghasilan rambut palsu anggaran RM800. Persoalannya, apakah hukum menderma rambut kepada orang lain? Mohon pencerahan.
JAWAPAN: Para fuqaha keempat-empat mazhab bersepakat bahawa rambut manusia tidak boleh dijual beli mahupun dimanfaatkan oleh orang lain kerana juzuk anggota anak Adam itu dimuliakan. Hal Ini berdasarkan firman Allah SWT: “Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam.” (Surah Al-Isra’:70)
Al-Imam al-Nawawi menyebutkan di dalam kitabnya, Al-Majmu’ berkenaan larangan menjual rambut manusia sama ada bersambung mahupun terpotong.
Malah, rambut yang terpotong disunatkan untuk disembunyikan mahupun ditanam di dalam tanah sebagaimana telah disepakat oleh para Sahabat RA.
Ulama bersepakat bahawa perbuatan menyambung rambut adalah haram berdasarkan hadis Rasulullah SAW berkaitan ancaman dan laknat kepada mereka yang menyambung rambut dan meminta disambung rambutnya.
Pengharaman ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Asma’ binti Abu Bakar RA bahawa terdapat seorang wanita yang berjumpa dengan Rasulullah SAW lalu mengadu kepada Baginda: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku mempunyai seorang anak perempuan yang baru bernikah. Dia telah terkena penyakit cacar (chickenpox) sehingga menyebabkan rambutnya keguguran. Bolehkah dia menyambung rambutnya (dengan rambut palsu)? Lalu
Baginda SAW bersabda: “Allah melaknat orang yang menyambung rambut dan orang minta disambungkan rambutnya.” (Riwayat Muslim)
Ibn Battal berkata, seorang wanita diharamkan menyambung rambutnya dengan sesuatu, jika tujuannya untuk mencantikkan dirinya dan supaya orang lain yang melihatnya menyangka bahawa rambut disambung itu adalah rambut asalnya.
Perbuatan ini seolah-olah menggambarkan bahawa pelakunya tidak reda dengan ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT sehingga mengubah kejadian ciptaannya.
Para ulama mazhab Syafi’i menyatakan bahawa perbuatan menyambung rambut dengan rambut manusia lain adalah haram sama ada bagi lelaki atau perempuan, atau menyambung rambut dengan rambut mahramnya, suaminya atau selain mereka.
Pengharaman ini jelas, bahkan para ulama telah bersepakat berkenaan hukumnya berdasarkan keumuman hadis tersebut. Hal ini kerana, mengambil manfaat daripada rambut dan seluruh anggota badan manusia adalah diharamkan kerana kemuliaan yang diberikan kepada manusia.
Tambahan pula, Imam al-Ramli menjelaskan bahawa seorang wanita juga diharamkan untuk menyambung rambutnya dengan bulu yang suci (selain rambut manusia) sekiranya tidak mendapat keizinan daripada suami.
Justeru, jika seorang isteri berkeinginan atau diminta oleh suaminya untuk menyambung rambut, maka hukumnya adalah harus dengan syarat dia mestilah menyambungkan rambutnya dengan sesuatu yang tidak menyerupai sifat rambut seperti benang sutera berwarna atau lain-lain. Jabatan Fatwa Jordan ada mengeluarkan beberapa kenyataan berhubung hukum rambut palsu:
Pertama, pemakaian rambut palsu bagi lelaki dan wanita adalah dibenarkan dengan syarat tidak diperbuat daripada rambut manusia atau bulu bernajis. Begitu juga tidak bertujuan untuk menipu dan memperdaya orang lain.
Kedua, isteri yang menghidap penyakit kanser sehingga menyebabkan keguguran rambut diharuskan memakai rambut palsu di dalam rumah sekiranya diizinkan oleh suaminya. Namun, tidak boleh diperlihatkan kepada orang luar kerana ia sebahagian daripada perhiasan.
Keharusan ini dengan syarat rambut palsu itu bukan diperbuat daripada rambut manusia atau bulu yang bernajis.
Sementara itu, prosedur menanam rambut ke dalam kulit kepala adalah dibenarkan kerana dianggap rawatan yang bertujuan mengembalikan fitrah ciptaan-Nya. Namun, keharusan tersebut dengan syarat penanaman rambut adalah menggunakan rambut sendiri, bahan-bahan suci, tiada unsur najis serta tidak mendatangkan sebarang kesan mudarat.
Kesimpulannya, hukum mendermakan rambut manusia kepada pesakit kanser untuk dijadikan rambut palsu adalah haram. Bagaimanapun, pemakaian rambut palsu sintetik bagi pesakit kanser adalah dibenarkan dengan syarat bukan rambut manusia lain atau bulu bernajis.















