fbpx
Penduduk Ulu Tembeling mula berdepan banjir apabila air Sungai Tembeling mula melimpah masuk ke dataran perniagaan dan jeti di Kampung Bantal, Ulu Tembeling hari ini.

Banjir di Ulu Tembeling, Dataran Kampung Bantal ditenggelami air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JERANTUT – Penduduk Ulu Tembeling mula berdepan banjir apabila air Sungai Tembeling mula melimpah masuk ke dataran perniagaan dan jeti di Kampung Bantal, Ulu Tembeling hari ini.

Siren amaran mula berbunyi pada pukul 5.45 pagi, mengejutkan penduduk yang bergegas bangun tidur dan melihat air Sungai Tembeling sudah melimpah memenuhi dataran kedai kopi, jeti bot penambang dan beberapa buah kediaman di pesisir sungai tersebut.

Kejadian banjir itu berlaku berikutan hujan lebat sejak kelmarin di kawasan hulu menyebabkan paras air di dua batang sungai utama iaitu Sungai Tembeling dan Sungai Sepia di Ulu Tembeling naik mendadak.

Penduduk Kampung Bantal Seberang, Jamizan Rashid, 46, berkata, penduduk menjangkakan kejadian banjir sejak semalam apabila air Sungai Tembeling naik mendadak dan arus deras dilihat menghanyutkan kayu reput dan reba pokok.

“Namun tidak menyangka pula, air memenuhi dataran kampung kami pada awal pagi hari ini apabila terdengar siren amaran yang mengejutkan penduduk yang sedang nyenyak tidur.

“Keadaan ini memungkinkan limpahan air akan memenuhi dataran perniagaan kampung ini apabila air Sungai Tembeling bertembung dengan aliran Sungai Sepia semakin meningkat dijangka pada tengah hari ini,”katanya di Kampung Bantal di sini hari ini.

Menurut Jamizan, tiada mangsa yang berpindah kerana beberapa buah rumah dan kedai kopi yang terletak di pesisir sungai itu menggunakan tong pelampung dan akan timbul serta tidak hanyut kerana ditambat pada pokok besar.

Sementara itu, peniaga kedai kopi, Apran Amat,79, berkata, dia sudah membuat persiapan awal sejak hujan lebat semalam dengan menempatkan peralatan dapur, bahan masakan dan minuman ke atas meja yang tinggi, manakala tidak bimbang kerana kedainya dipasang tong pelampung dan tidak tenggelam ketika banjir.

“Saya dan penduduk di sini tidak panik kerana sudah tahu air akan melimpah memandangkan pada awal malam (tadi) semalam paras air Sungai Tembeling mulai meningkat melepasi tangga jeti bot kampung ini,”katanya.

Apran berkata, kejadian banjir di kawasan Ulu Tembeling kemungkinan memakan masa yang lama memandangkan keadaan masih hujan lebat dan paras air Sungai Tembeling dan Sungai Sepia di Kampung Gusai meningkat dan arus deras.

Dalam pada itu, Zulkifly Jamaludin, 60, berkata, dia berjaga sehingga ke pagi memandangkan hujan sangat lebat dan penduduk bimbang kejadian banjir seperti penghujung tahun lalu.

“Penduduk di Ulu Tembeling antara terawal berdepan banjir apabila berlaku pertembungan aliran Sungai Sepia dan Sungai Tembeling berdekatan kampung ini menyebabkan air naik dengan cepat,”ujarnya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI