fbpx
Beregu lelaki muda Indonesia, Raymond Indra-Nikolaus Joaquin mengejutkan ramai dengan menumbangkan tiga beregu senior Malaysia seterusnya muncul juara Terbuka Australia minggu lalu.

Jelmaan Hendra-Markis Kido, ‘ancaman’ terbesar Seberang?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Suatu kejutan besar telah berlaku pada aksi badminton Terbuka Australia 2025 minggu lalu apabila beregu lelaki muda Indonesia, Raymond Indra-Nikolaus Joaquin mengejutkan ramai dengan menumbangkan tiga beregu senior Malaysia dan kemudian dimahkotakan juara.

Indra-Joaquin melakukan ‘triple kill’ menewaskan jaguh-jaguh Malaysia iaitu bekas beregu No.1 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan beregu No.5 dunia, Man Wei Chong-Tee Kai Wun serta Choong Hon Jian-Haikal Nazri sekali gus meranap hasrat seluruh kem beregu lelaki negara memburu gelaran di Sydney.

Indra-Joaquin mengalahkan ‘FeiDin’ dengan straight set 21-15, 21-15 pada aksi separuh akhir setelah pasangan Indonesia yang baru berusia 21 tahun dan 20 tahun itu menumpaskan Wei Chong-Kai Wun pada aksi suku akhir 21-15, 19-21, 21-15 dan Hon Jian-Haikal pada pusingan kedua 18-21, 21-17, 21-15.

Lebih menakjubkan, pasangan muda itu juga akhirnya berjaya bergelar juara setelah menjinakkan ‘abang-abang’ mereka sendiri, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri di final sedangkan pasangan senior itu sendiri sulit dikalahkan rata-rata beregu Malaysia.  Terdahulu, di satu lagi aksi separuh akhir, Fajar-Fikri menewaskan satu lagi handalan Indonesia, Sabar  Karyaman Gutama-Reza Pahlevi Isfahani.

Tewasnya tiga kali beregu Malaysia di Terbuka Australia itu ibarat mengulang serta menambah derita di Kumamoto Masters Jepun minggu sebelumnya apabila pasangan Hiroki Midorikawa-Kyohei Yamashita melakukan ‘quadruple kill’ kepada empat beregu lelaki tanah air.

Apa pun, banyak pihak menyuarakan kekaguman kepada pasangan Indra-Joaquin yang kini melonjak ke tangga 24 dunia itu.

Memang sukar untuk kita melihat kemunculan satu pasangan atau individu muda yang terus ‘menggoncang’ dunia badminton setelah boleh dikatakan agak baru beralih dari peringkat remaja.

Mencuri perhatian dunia bulu tangkis, pengulas badminton ternama Gill Clark atau mesra disapa Oma Gill turut melontarkan pujian melangit atas penampilan pasangan muda itu yang menjuarai Terbuka Australia.

Dalam komentarnya di akaun X dengan meletakkan foto aksi beregu muda Indonesia itu, Oma Gill menilai Indra-Joaquin memiliki ‘faktor X’ yang jarang dimiliki atlet muda.

“Ada beberapa atlet muda yang entah bagaimana memiliki sesuatu yang berbeza. Sesuatu yang melampaui keterampilan teknik. Faktor X yang tidak dapat didefinisikan yang anda rasakan itu memberi mereka potensi untuk berkembang menjadi sesuatu yang istimewa.

“Saya merasakannya ketika saya melihat Hendra Setiawan dan pasangannya mendiang Markis Kido mengalahkan bekas juara dunia Sigit Budiarto dan Candra Wijaya di final Terbuka Indonesia 2005. Begitu juga ketika saya pertama kali melihat Tai Tzu Ying dan Kevin Sanjaya Sukamuljo. Semua memiliki sesuatu yang ekstra.

“Ia suatu yang sukar untuk saya sifatkan tetapi saya dapat rasakan ada sesuatu yang istimewa pada mereka jika dibandingkan dengan anak muda berbakat lain.

“Saya merasakan hal yang sama saat menonton Raymond Indra dan Nikolaus Joaquin memenangi Australia Open 2025 baru-baru ini. Ia tidak boleh diragui lagi sebagai suatu yang sukar dipercayai apatah lagi apabila memenangi kejohanan bertaraf Super 500 ketika kali pertama membuat penampilan,” ungkap Oma Gill.

Disamakan Oma Gill dengan beregu legenda Hendra Setiawan-Markis Kido yang juga pemenang emas Olimpik dan juara dunia tentunya suatu isyarat amaran bahawa Indra-Joaquin ini berpotensi menjadi bintang berbisa yang harus diwaspadai semua.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN