KUALA LUMPUR – Bijak menilai, anak sulung usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri, Ammar Ahyan, mengakui dirinya sangat berwaspada dalam memilih kawan, terutama selepas pelbagai kisah sosial remaja tular sejak kebelakangan ini.
Ujar Ammar, 17, meskipun ramai menyatakan minat untuk berkawan, dia tetap menjaga batas agar tidak mudah dipengaruhi ajakan kurang elok.
“Sejujurnya kan kalau di kolej memang ramai sahaja yang nak berkawan dengan saya, tapi saya pula agak selektif, bukan memilih, cuma berhati-hati.
“Ramai suka ajak keluar malam, saya pula memang tak boleh keluar malam dan tak berminat untuk itu,” katanya kepada Kosmo! Online.
Tambah Ammar, dia mampu menilai keikhlasan seseorang melalui cara mereka mendekatinya tanpa keterlaluan atau kepura-puraan.
Katanya, rakan yang tulus tidak perlu memandang status keluarga atau populariti, sebaliknya hadir dengan niat berkawan secara jujur dan tidak ‘try hard’.
“Bila orang tanya boleh tak berkawan, kita sendiri boleh rasa sama ada individu itu ikhlas atau tidak. Dari rupa dan cara mereka layan kita pun sudah beri petunjuk tertentu.
“Tapi kalau mereka jenis ‘random’, layan kita biasa sahaja, bagi saya itulah orang yang betul nak berkawan dengan saya,” luahnya.
Terdahulu, ramai netizen menitip pesan supaya Ammar sentiasa berhati-hati membina pergaulan, bimbang remaja seusianya mudah terikut ajakan tidak sihat.
Nasihat tersebut lahir selepas beberapa kandungan media sosial menunjukkan dirinya sering didekati rakan baharu. – KOSMO! ONLINE.















