PUTRAJAYA- Sejumlah 9,033 keluarga dan 27,489 mangsa kini dilaporkan terjejas dengan bencana banjir di seluruh negara melibatkan 242 pusat pemindahan sementara (PPS) beroperasi.
Susulan itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sebagai langkah kesiapsiagaan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) digerakkan sejak awal bersama kerajaan negeri dan agensi bencana lain.
Katanya, JKM juga bersedia mengaktifkan PPS tambahan pada bila-bila masa sekiranya keadaan cuaca bertambah buruk.
“Bekalan makanan, selimut dan keperluan asas berada pada paras mencukupi dan akan terus diagihkan mengikut keperluan mangsa di lapangan.
“KPWKM menyeru semua penduduk di kawasan berisiko agar sentiasa berwaspada, mengikuti arahan pihak berkuasa dan segera berpindah ke PPS jika diarahkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nancy berkata, semua mangsa banjir diminta mengutamakan keselamatan ahli keluarga, khususnya kanak-kanak, warga emas dan golongan orang kelainan upaya (OKU) serta mengelakkan berada berhampiran sungai, kawasan rendah dan lokasi yang mudah dinaiki air.
Katanya, mereka yang memerlukan bantuan boleh mendapatkan sokongan di PPS terdekat atau menghubungi saluran kecemasan yang rasmi.
“Kita kini berdepan fasa cuaca yang mencabar, dan keselamatan rakyat adalah keutamaan.
“KPWKM melalui JKM akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa serta memastikan setiap keluarga terkesan menerima bantuan secepat mungkin dan dengan penuh empati,” katanya. – KOSMO! ONLINE















