PETALING JAYA – “Air masih lagi dalam, kitorang (kami) tak ada makanan dan bantuan,” itu perkongsian seorang rakyat Malaysia yang masih terperangkap di sebuah hotel di Hatyai, Thailand ekoran banjir besar sejak minggu lalu.
Menerusi video yang dimuat naik di akaun TikTok Wheellover Official kelmarin, beberapa individu dari Terengganu itu terperangkap di Hotel Merlin selepas paras air di kawasan tersebut dilaporkan terus meningkat.
“Kitorang duduk Merlin Hotel. Boleh cari. Mohon bantuan,” katanya.
Mereka turut memuat naik hantaran terbaharu semalam menceritakan keadaan terkini di hotel berkenaan yang mana air semakin surut, namun tidak dapat keluar dari lokasi tersebut.
“Pukul 4 petang (waktu Thailand), masih belum terima apa-apa bantuan. Keadaan air semakin surut, tapi belum dapat keluar,” menurut kapsyen pada video terkini.
Hantaran itu mendapat perhatian orang ramai yang merayu supaya mangsa diberikan bantuan dengan kadar segera serta keluar dari kawasan tersebut.
“Semoga dapat bantuan dengan segera. Semoga selamat semua, dipermudah segala urusan,” kata pengguna TikTok, Makh Syafarita.
“Semoga Allah permudah urusan anakanda semua, banyak berdoa dan semoga cepat bantuan sampai kepada mereka,” ujar Sarina Latif.
Dalam masa sama, ada pengguna media sosial yang berkongsi nombor telefon pihak sukarelawan untuk dihubungi bagi mendapatkan bantuan. – KOSMO! ONLINE
@wheellover_official Mohon bantuan ‼️ #mangsabanjirhatyai#soshatyai#ngomalaysia#hotelmerlinhatyai #bantuansosial ♬ original sound – WHEELLOVER_official














