BANGKOK – Satu klip video tular memaparkan seekor ular gergasi berwarna hitam menyusur di dalam banjir dalam kejadian yang mencetuskan kebimbangan penduduk, lapor portal berita Free Press Journal.
Kejadian itu dirakam di daerah Hatyai, wilayah Songkhla, selatan Thailand, baru-baru ini.
Rakaman video dimuat naik di platform X oleh akaun @joe_black317 menunjukkan reptilia itu ‘berenang’ dengan santai ketika melalui jalan yang ditenggelami air.
Air banjir dilihat mencapai paras pinggang orang dewasa.
Penduduk tempatan berkata, ular akan mencari tempat berlindung termasuk kawasan perumahan apabila habitat asalnya dinaiki air susulan hujan lebat berterusan.
Rakaman itu mencatatkan lebih 1 juta tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi.
“Setiap haiwan juga mahu hidup,” kata seorang netizen.
“Kalau saya, saya takkan turun daripada bumbung,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI















