MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mengakui rombakan taktikal yang dilakukan ‘memakan diri’ selepas tewas mengejut 0-2 kepada Bayer Leverkusen dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL) di Etihad, awal pagi semalam.
Pada perlawanan itu, Guardiola yang sepatutnya meraikan malam bersejarah membimbing City buat kali ke-100 dalam aksi UCL tewas hasil jaringan Alejandro Grimaldo dan Patrik Schick.
Pengendali dari Sepanyol itu mengakui silap besar membariskan ‘skuad B’ dengan membuat pertukaran 10 pemain dalam kesebelasan utama selepas pasukannya tewas kepada Newcastle United dalam aksi domestik, minggu llau.
“Saya kena terima kritikan kerana perubahan taktikal ini adalah keputusan saya. Kalau kami menang, tiada siapa bising tetapi jika kalah, saya perlu bertanggungjawab sepenuhnya.
“Secara peribadi, pemain yang diturunkan tidak mempamerkan aksi yang diharapkan kerana takut buat silap. Kita juga terlepas banyak peluang kesilapan dan mungkin ini salah saya (kerana percayakan mereka),” katanya.
Sementara itu, pengendali Leverkusen, Kasper Hjulmand teruja apabila pasukan dapat melakar kemenangan penting ke atas The Citizens untuk memastikan kedudukan pasukan terus melonjak dalam carta liga ketika ini.
“Dalam aksi UCL, kebiasaan pasukan tukar sekitar lima atau enam pemain sahaja. Namun, saya tidak kisah siapa yang mereka turunkan kerana City tetap pasukan berkualiti tetapi kita berjaya manfaatkan peluang terhidang,” katanya. – AGENSI















