PETALING JAYA – Sembilan orang awam yang terkandas di Pulau Jarak akibat kejadian tanah runtuh dipindahkan dari kawasan berisiko tinggi hasil tindakan pantas Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
TLDM dalam kenyataan hari ini berkata, hujan lebat dan cuaca ekstrem menyebabkan insiden tanah runtuh di pelbagai lokasi di Pulau Jarak, sekali gus mengancam keselamatan anggota bertugas dan orang awam di pulau berkenaan.
“TLDM menerima laporan mengenai sembilan orang awam yang sedang melaksanakan kerja senggaraan suar terkandas di pulau tersebut.
“Sebuah helikopter Super Lynx diatur gerak bagi melaksanakan pemindahan dari lokasi yang dinilai tidak lagi selamat diduduki.
“Melalui tindakan pantas serta koordinasi rapi, kesemua mangsa terkandas berjaya diselamatkan seterusnya dipindahkan dari kawasan berisiko tinggi tersebut,” katanya.
Dalam masa yang sama, TLDM turut terlibat dalam kerja-kerja menyelamatkan 19 mangsa bot karam di perairan Pulau Perak, Langkawi.
Katanya, Pusat Penyelarasan Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Langkawi mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada pukul 11 pagi semalam selepas menerima laporan sebuah bot karam akibat cuaca buruk.
“Kesemya 19 mangsa ditemui termasuk seorang mangsa yang disahkan meninggal dunia.
“Mangsa yang terselamat diberikan rawatan awal oleh pasukan perubatan kapal sebelum dibawa ke daratan untuk tindakan lanjut,” katanya.
Susulan dua insiden itu, TLDM mengingatkan komuniti maritim supaya lebih berhati-hati untuk keluar ke laut dalam keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini.
Jelasnya, kapal yang digunakan hendaklah berada dalam keadaan baik dan mampu beroperasi sesuai dengan keadaan perairan Selat Melaka yang agak bergelora.
“Tambahan, angin kencang dan hujan lebat mampu meningkatkan risiko ombak tinggi serta penglihatan yang terhad.
“Demi keselamatan, orang ramai dinasihatkan mematuhi amaran cuaca dan mendapatkan maklumat awal dari pihak berkuasa sebelum keluar ke laut,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE















