KUALA LUMPUR – Enggan memanjangkan isu luahan hati bekas isteri, Shakilla Khoriri dalam media sosial sehingga menimbulkan kekecohan baru-baru ini, penyampai radio Fizi Ali tampil memohon maaf.
Menurut Fizi atau Mohd Hafizudin Alimudin, 36, dia mengakui terkejut apabila Shakilla membangkitkan isu tidak berhubung dengan anak mereka, Ameena Sofia lebih seminggu sedangkan sebelum ini komunikasi antara mereka masih baik.
“Selalunya saling berhubung dan memang dia akan mesej dulu maklumkan ‘boleh tak nak hubungi?’.
“Jadi saya beranggapan perkara tersebut berterusan sampai bila-bila tetapi apabila saya di Tanah Suci, tiba-tiba dia muat naik status luahan sebegitu dalam media sosial.
“Tapi tak apalah, mungkin ada khilaf daripada saya sendiri dan minta maaf kepadanya yang mungkin ada terasa hati atau rasa saya ini tak bertanggungjawab. Dengan menyusun10 jari, saya minta maaf atas apa yang berlaku,” katanya kepada Kosmo! Online pada majlis Pra Kemuncak Anugerah Bintang Popular ke-37 di sini, semalam.
Tambah Fizi, fokusnya ketika di Tanah Suci hanyalah untuk beribadah memandangkan ini merupakan umrah pertamanya namun turut diuji dengan kesihatan anak bongsu dan isterinya, Siti Zulaikha yang kurang sihat.
Dia juga berharap isu tersebut tidak terus dibangkitkan Shakila selain menyelesaikan secara privasi tanpa melibatkan campur tangan pihak lain.
“Ameena ada saja ingat beli barang untuk mak dia. Tapi tak adalah sampai nak paksa hubungi sebab kami tengah umrah.
“Benda macam ini boleh saja mesej terus. Bila jadi besar, jadi tak syok. Saya tak pasti ada orang lain cucuk atau tidak, tapi lebih baik selesaikan secara privasi.
“Bila saya hantar anak semula kepada dia, tiada masalah apa-apa pun. Sudah selesai,” katanya lagi.
Terdahulu, Shakilla mendakwa sudah sembilan hari tidak mendengar khabar Ameena dibawa Fizi mengerjakan ibadah umrah.
Fizi dan Shakilla sah bercerai pada Disember 2021 selepas empat tahun mendirikan rumah tangga.
Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Ameena yang kini berusia 6 tahun.
Fizi seterusnya kembali bergelar suami selepas mendirikan rumah tangga dengan Zulaikha pada 23 Oktober 2023. – KOSMO! ONLINE















